SIAPA yang membesar tahun 80-an dan 90-an? Anda mesti kenal dengan permainan ini. Jika disebut TETRIS, seluruh dunia tahu permainan ini yang sangat popular dan mendominasi dunia permainan video suatu ketika dahulu.

Ketika itu, konsol permainan ini dijual antara RM5 sehingga RM10. Ia amat laris sehingga di mana-mana dapat dilihat orang bermain Tetris.

Hebatnya Tetris ini hingga menjadi antara permainan video paling laris di dunia. Dicatatkan pada Disember 2011, permainan ini telah terjual lebih 202 juta unit. Sebanyak 70 juta daripadanya adalah unit fizikal, manakala selebihnya adalah daripada muat turun.

Ada yang ingat lagi?

Siapa yang mencipta Tetris ini?

Permainan ini direka oleh seorang jurutera perisian Rusia bernama Alexey Pajitnov pada tahun 1984. Ketika itu, Pajitnov bekerja di bahagian pusat pengkomputeran di Akademi Sains Kesatuan Soviet di Moscow.

Sambil melakukan tugasnya untuk menguji perisian baru di syarikat itu, di masa senggang Pajitnov cuba mencipta permainan yang bersifat teka-teki untuk diselesaikan. Baginya, permainan boleh membuatkan orang berasa gembira, dan menunjukkan sikap yang berbeza, termasuk cara mereka berfikir.

Alexey Pajitnov, orang yang mencipta Tetris.

Pajitnov mendapat idea untuk mereka Tetris berdasarkan ‘Pentominoes’, salah satu permainan yang popular di kalangan kanak-kanak Rusia ketika itu. Dia membayangkan satu permainan yang terdiri daripada kepingan rawak di mana pemain harus menyusun setiap kepingan tersebut bagi memenuhi setiap ruang kosong bermula dari bawah.

Pajitnov mengambil 7 karakter yang menggunakan konsep ‘tetrominoes’ (bentuk geometri yang terdiri daripada empat segi sama).

Pentominoes, permainan kanak-kanak Rusia aman dahulu.
Tetrominoes, bentuk geometri yang dijadikan asas oleh Pajitnov untuk membina karakter Tetris.

Ketika itu itu komputer masih belum canggih dan hanya menggunakan komputer elektronik 60 yang hanya mampu memaparkan teks sahaja. Disebabkan itu Pajitnov mengambil bentuk karakter tetrominoes itu menjadikannya 7 bentuk abjad iaitu I,J,L,O,S,T dan Z.

Dia menamakan permainan itu sebagai ‘tetris’, perkataan yang digabungkan daripada ‘Tetra’ (empat) dan sukan kegemarannya, ‘tennis’.

Pajitnov menyelesaikan versi pertama Tetris pada Jun 1984. Versi awal ini, Tetris tidak mempunyai warna dan suara. Dia memperlihatkan permainan ciptaannya itu kepada salah seorang rakan sekerjanya yang dengan cepat menjadi ketagih bermain Tetris.

Versi awal Tetris dalam komputer elektronik 60 yang direka Pajitnov.
Versi awal Tetris semasa baru dihasilkan pada 1984.

Dalam masa beberapa minggu, permainannya itu telah tersebar luas di seluruh Akademi Sains tersebut, bahkan turut tersebar ke setiap institut di Moscow yang mempunyai komputer.

Tetris juga menjadi kegilaan di Institut Perubatan Moscow sehingga permainan itu diharamkan di institut tersebut apabila didapati ramai orang berhenti melakukan kerja-kerja mereka hanya kerana mahu bermain Tetris.

Bagi meningkatkan kualiti Tetris supaya boleh dimasukkan ke dalam komputer perincian IBM, Pajitnov berganding dengan Vadim Gerasimov yang ketika itu baru berusia 16 tahun namun sangat mahir dengan komputer.

Hasilnya pada tahun 1985, Vadim berjaya menjadikan Tetris versi berwarna dan ia mula meletup di seluruh Rusia.

Tetris versi berwarna dan telah mempunyai konsul permainan.

Pajitnov ingin mengembangkan Tetris sehingga ke luar negara, tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Apatah lagi ketika itu soal perundangan berkaitan harta intelek tidak wujud di Rusia. Malah, para pengkaji dan penyelidik Soviet tidak dibenarkan untuk menjual idea ciptaan mereka.

Pajitnov telah meminta bantuan penyelianya, Victor Brjabrin untuk membantu menyebarkan Tetris kepada dunia luar. Victor telah menghantar salinan permainan Tetris itu kepada sebuah syarikat penerbit permainan di Hungary.

Daripada situ, cakera permainan Tetris telah tersebar di seluruh Hungary bahkan sehingga ke Poland. Akhirnya, ia menarik perhatian sebuah syarikat perisian, Andromeda Software yang berpangkalan di London.

Berlaku beberapa insiden berkaitan perlesenan penerbitan hak cipta Tetris yang ketika itu sudah mula popular di Eropah. Dipendekkan cerita, kerjasama dijalin dengan syarikat terkemuka British, Mazwel Corporation pada tahun 1986 untuk mengembangkan Tetris ke seluruh dunia.

Kejayaan komersial Tetris memuncak apabila tahun 1989, monokrom Game Boy dilancarkan oleh Nintendo, syarikat permainan video dari Jepun.

Mereka telah menjadikan Tetris sebagai permainan yang dimasukkan ke dalam Game Boy pertama mereka sewaktu ia baru dilancarkan. Dan ia telah melonjakkan Tetris di pasaran dunia. Malah, Microsoft turut memasukkan Tetris ke dalam versi Windos 3.0 mereka pada tahun 1989.

Sehingga kini, Tetris diiktiraf bukan saja antara permainan video paling laku, tetapi juga paling lejen sepanjang zaman.

Pajitnov, pereka Tetris.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen