DI daerah New Haven di Vermont, Amerika Syarikat, terdapat sebuah kawasan perkuburan lama yang menjadi lokasi pengebumian penduduk sekitar sejak ratusan tahun lalu.

Apa yang peliknya di situ, terdapat sebuah kubur yang berbeza daripada kubur-kubur lain. Kubur ini kelihatan aneh kerana mempunyai tingkap segi empat di atas permukaan makam tersebut.

Tingkap berukuran 14 x 14 sentimeter ini diperbuat daripada kaca tebal. Ia juga kelihatan keruh dan berwap daripada bahagian dalam. Kubur ini sering menjadi perhatian pengunjung.

Kubur ini adalah milik individu bernama Timothy Clark Smith. Kisah lelaki ini memang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Kubur Timothy Clark Smith mempunyai tingkap kaca di atasnya.

Smith bukan calang-calang orang. Lahir pada 1821 di Monkton, lulusan dari Kolej Middlebury ketika berusia 21 tahun. Kemudian menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pernah berkhidmat di Rusia sebagai pakar bedah dalam ketenteraan Rusia.

Suatu ketika dahulu, wajah mayat Smith dapat dilihat melalui tingkap kaca yang dipasang pada kubur berkenaan. Juga terdapat tukul dan pahat di sebelah rangka lelaki tersebut.

Mengapa kubur Smith ini dibentuk aneh berbanding kubur-kubur lain?

Menurut cerita, ia ada kaitan dengan dengan penyakit yang dialami oleh Smith. Dikatakan lelaki ini menghidap penyakit ‘Taphephobia’.

Penyakit tersebut adalah kecenderungan seseorang memiliki ketakutan melampau untuk ditanam secara hidup-hidup. Dalam bahasa mudah, terlalu fobia dikebumikan hidup-hidup.

Dengan kata lain, penghidap penyakit ini bimbang keterlaluan sekiranya mereka ‘tersedar’ daripada mati dan terperangkap di dalam makam.

Atas faktor tersebut,  Smith telah mencipta makam khas untuk mengatasi ketakutannya itu. Walaupun bergelar doktor, ia tidak mampu mengubati ketakutannya itu.

Smith membina sebuah makam dengan ciri-ciri yang dapat membantunya jika dia terbangun daripada kematian.

Dia telah membina sebuah makam yang dilengkapi dengan peralatan tertentu supaya berasa ‘selamat’. Smith mencipta makam ini semasa masih hidup khas untuk dirinya apabila dikebumikan nanti.

Kebiasaannya, seseorang yang telah mati akan disemadikan secara kekal di dalam kubur. Bagaimanapun, sekiranya mayat yang ditanam ‘tersedar semula’ selepas pengebumian, mereka tidak akan dapat diselamatkan. Tiada siapa akan mendengar jeritan mereka kerana berada di bawah tanah dan jauh daripada pengetahuan orang sekeliling.

Pada abad 17, kisah individu mati yang hidup semula selepas dikuburkan telah menimbulkan beberapa kejadian aneh. Semuanya terbongkar apabila kubur mereka digali semula atas faktor tertentu. Mengejutkan, ada di antara mayat yang ditemukan dalam keadaan ‘terseksa’. Keadaannya seperti pernah meronta-ronta dipercayai mencari jalan keluar dari keranda.

Disebabkan itu, Smith bersiap sedia menghasilkan kubur bertingkap ini sebagai persediaan untuk dirinya. Ia juga sebagai langkah untuk menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan situasi yang amat ditakutinya.

Antara peralatan yang dibekalkan dalam kerandanya sendiri adalah tali dan loceng. Tali berkenaan disambungkan dengan loceng. Tujuannya supaya dapat menarik tali tersebut jika dia tersedar dan bukan benar-benar mati. Tarikan tersebut dipercayai dapat menggerakkan loceng sehingga menghasilkan bunyi yang dapat didengari orang berdekatan.

Tingkap kaca pada kubur ini pula untuk menampakkan wajah si mati daripada permukaan atas. Jadi, mudah untuk orang melihat sekiranya si mati mungkin ‘hidup’ semula.

Tingkap kaca untuk melihat ke dalam makam Smith.

Kubur ini dikatakan mempunyai ruang bawah tanah, bahkan tangga untuk naik ke atas. Mayatnya juga ditanam bersama pahat dan tukul yang boleh digunakan untuk dia keluar dari makam itu sekiranya terjaga dari ‘mati’.

Persediaan yang rapi itu dilakukan oleh Smith kerana takut jika dirinya terkurung di dalam makam itu setelah dikebumikan, sedangkan dia belum benar-benar mati.

Apa yang nyata, Smith tidak pernah ‘bangun’ lagi setelah dikebumikan di dalam kubur ciptaannya itu setelah dia meninggal dunia pada tahun 1893 ketika berusia 72 tahun. Kiranya, lelaki ini bernasib baik kerana kematiannya dilaporkan kekal dan dia tidak ‘terjaga’ selepas sesi pengebumian selesai dilakukan.

Dikatakan selepas meninggal, wajah Smith masih boleh dilihat orang ramai melalui kaca pada kubur bertingkap itu. Malah, penduduk setempat berpeluang menyaksikan perubahan keadaan wajah mayat Smith dari awal dikebumikan sehingga berubah menjadi rangka.

Kini, agak sukar untuk melihat ke dalam keranda itu kerana tingkap kaca itu sudah terlalu kabur dimamah usia.

Pun begitu, makam Smith ini menjadi tarikan kepada pengunjung. Malah ramai orang luar datang ke sini hanya semata-mata mahu melihat makam lelaki ini.

Tingkap kaca ini sudah terlalu kabur.
Ramai pengunjung datang ke sini semata-mata mahu melihat makam Smithh.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen