JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius kenyataan dimuat naik pemilik akaun Twitter, Edisi Khas yang mendakwa terdapat pegawai JPJ terbabit dalam ‘sindiket lesen terbang’.

Melalui kenyataan tersebut, pemilik akaun tersebut turut berkongsi tangkap layar sebuah sekolah lesen memandu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu hadir kelas atau apa-apa ujian memandu kendalian JPJ.

Kenyataan itu juga mendakwa pihak sekolah memandu itu menjalankan kegiatan tersebut dengan penglibatan pegawai-pegawai JPJ dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya kesal dengan tohmahan dan memandang serius kenyataan tersebut kerana ia secara langsung mencalarkan imej dan reputasi jabatan berkenaan.

Menurutnya, tindakan susulan dari segi siasatan akan dijalankan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber Security dalam mengesan pemilik akaun di media sosial yang menjalankan operasi sindiket penipuan (scam) ini bagi membendung jenayah siber ini daripada terus berleluasa.

BERITA BERKAITAN JPJ siasat dakwaan anggota terlibat aktiviti ‘lesen terbang’

“Sementara itu, pelbagai pendekatan juga dilaksanakan oleh pihak JPJ dalam mengekang pembabitan warga kerja JPJ daripada terbabit dengan aktiviti yang tidak berintegriti ini.

“Antara inisiatif itu adalah pembangunan sistem yang mewajibkan pengesahan ID (pengenalan diri) penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran Lesen Memandu (LMM) dilaksanakan serta pemantauan dan pengauditan urus niaga melalui garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook JPJ hari ini.

Zailani berkata, JPJ juga ingin menegaskan bahawa pihaknya sesekali tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang membabitkan warga kerja JPJ yang membabitkan integriti, salah guna kuasa dan rasuah khususnya dalam aktiviti lesen terbang seperti yang didakwa oleh pemilik akaun Twitter berkenaan.

“JPJ menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran seumpama ini (lesen terbang) yang secara jelas tidak mengikut prosedur dan peraturan serta undang-undang seperti yang digariskan oleh pihak JPJ,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram