Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa./ GAMBAR: Abd Razak Aid

TINDAKAN kerajaan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), dilihat selari dengan aspirasi rakyat negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia dapat dilihat menerusi kajian dan analisis sentimen rakyat, yang dilakukan kementerian menerusi pelbagai platform.

Beliau berkata menerusi kementeriannya, kerajaan pusat juga menggunakan teknologi untuk membuat analisis sentimen secara harian.

“Analisis sentimen rakyat memang kita lihat, supaya kerajaan berbuat sesuatu yang selaras dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

“Di Johor, apa yang Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) lakukan macam saya katakan tadi, indikator analisis sentimen menunjukkan ia (PRN Johor) selari dengan aspirasi rakyat,” kata beliau.

BERITA BERKAITAN Inilah orde baru politik, bermuafakat di pusat, boleh bersaing di negeri – Annuar

Justeru, Annuar yakin bahawa masyarakat Johor akan menyempurnakan hak mereka dalam PRN akan datang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat negeri ini, yang turut dihadiri Hasni dan pemimpin lain.

Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Hasni, untuk menerajui kerajaan negeri dengan mandat baharu. 

“(Keyakinan terhadap) kepimpinan Hasni, saya nyatakan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Annuar berkata kepimpinan Hasni tidak boleh dinafikan berdasarkan ‘track record’ beliau.

“Track record ditunjukkan Hasni dalam memimpin kerajaan negeri telah terbukti, sehingga diterima baik bukan sahaja oleh Istana Johor, tetapi rakyat Johor.

“Jadi saya berharap beliau akan kembali memimpin kerajaan negeri dengan mandat yang lebih besar daripada rakyat dalam PRN akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram