“Saya suka, sayang dan cintakan nama saya. Saya tetap akan guna nama penuh dan tak nak tukar nama glamor.”
Demikian tegas pelakon Siti Khadijah Halim yang akan terus mengekalkan nama tersebut meskipun dirinya kini sudah terbabit dalam dunia seni.
Ujar Siti Khadijah, dia agak ‘cerewet’ dan pernah meminta kru produksi untuk mengubah ejaan namanya dengan betul dalam kredit drama lakonannya.
“Kalau ada salah ejaan dalam kredit, saya memang akan minta kru betulkan sebab saya bangga dengan nama saya.
“Malah, nama akaun Instagram saya pun Siti Khadijah Halim. Saya memang nak nama ayah saya (Halim) ‘dibawa’ ke mana-mana dengan saya sampai bila-bila.
“Andai satu hari nanti dia (bapa) sudah tiada, saya nak banggakan dirinya,” katanya ketika ditemui URTV.
Pun begitu, Siti Khadijah sebelum ini pernah bertanyakan kepada beberapa orang penerbit dan pengarah berkenaan penggunaan namanya.
Dia bersyukur apabila ramai yang meminta dirinya untuk terus kekal menggunakan nama sendiri.
“Saya ada minta nasihat dan pandangan pengarah serta penerbit jika ada nama glamor yang sesuai untuk saya.
“Namun, mereka mengesyorkan untuk saya kekalkan nama Siti Khadijah,” kongsinya.
Sementara itu, meskipun tidak bertudung, Siti Khadijah akui peernah dipandang sinis segelintir pihak kerana imejnya itu tidak selari dengan pembawaan nama isteri Rasulullah SAW.
“Saya sedar orang akan berkata penampilan saya yang tidak bertudung ini tak sepadan dengan nama Siti Khadijah.
“Apa pun terjadi, saya akan terus kekalkan dengan penampilan sopan dan tidak terlalu terdedah dalam berpakaian,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

