SETELAH sekian lama berteka-teki, akhirnya penyanyi Datuk Aishah mengesahkan bahawa dirinya sudah bercerai dengan bekas suami pada 25 Disember lalu.
Lebih menghibakan, Aishah memaklumkan bahawa dirinya diceraikan dengan talak satu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Segala-galanya sudah selesai apabila saya diceraikan talak satu menerusi mesej pada 25 Disember lalu.
“Bohonglah, jika saya tidak bersedih dengan pengakhiran yang berlaku. Saya bukannya robot. Saya menangis sebaik sahaja membaca mesej yang dikirimkan.
“Namun, saya akur dengan ketentuan takdir. Walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan,” ujarnya menerusi laporan BH Online.
Dalam pada itu, Aishah turut berkongsi bahawa anak-anaknya Armand Azhari dan Azhad Ahlami merupakan sumber kekuatannya untuk meneruskan kehidupan.
“Ini bukan perkara baharu buat saya. Lagipun, saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini. Masa itu, anak-anak masih kecil lagi.
“Masih terbayang apabila saya terpaksa mengangkut anak-anak bersama ketika bekerja kerana tiada siapa dapat menjaga mereka.
“Sekarang, anak-anak sudah dewasa dan menjadi tempat untuk saya bergantung harap. Hidup saya kini hanyalah untuk anak-anak,” katanya.
Terdahulu, Aishah mendedahkan bahawa dia dan suami sudah tidak tinggal sebumbung selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Namun, Aishah tidak megulas lebih lanjut mengenai punca pergolakan rumah tangganya.
Buat info, ini merupakan perkahwinan Aishah yang keempat.

