SELEPAS lebih seminggu bergelar ibu kepada Muhammad Bilal Muhammad Haris, pelakon dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor, 33, berkongsi momen sebelum melahirkan cahaya mata sulungnya.
Menerusi Insta-Story Neelofa, dia tidak menjangka putera sulungnya itu bakal dilahirkan pada hari tersebut dan sempat merekodkan bacaan sakit kontraksi.
“Masa ini macam tak percaya dan tak boleh nak hadam, betul ke sakit nak beranak ni, sebab macam lebih kurang sakit datang bulan sahaja, (sebab sengugutku sangat ekstrem ya setiap bulan).
“Haris balik kerja malam itu, terus dia cakap jom kita pergi hospital dan saya seperti, ya ke sayang? Kot ‘false alarm’ jadi saya mula rekod setiap kali sakit,” ujarnya.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon dan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz itu berkata, dia telah dimasukkan di dewan bersalin jam 1 pagi pada hari yang sama.
“Jadi, pada jam 1 pagi, saya sudah terbaring di dewan bersalin. Masih terpinga-pinga ‘betul ke dah nak bersalin ni,’. Pak ustaz (Haris) buat solat sedikit sambil tunggu doktor. Masa ni sampai-sampai dah 2 sentimeter,” kongsi Neelofa lagi.
Malah, bekas pengacara MeleTOP itu sempat menemani Haris menjamah sarapan pagi walaupun terpaksa menahan sakit kontraksi selama 14 jam.
Dalam pada itu, Neelofa meluahkan rasa syukur apabila proses melahirkan bayi lelakinya berjalan dengan lancar dan menzahirkan ucapan terima kasih buat suaminya, Haris yang sentiasa ada di sisi.
“Teman suami makan sarapan, masa ini dah lebih lapan jam layan kontraksi dan enam jam kemudian…jam 3.44 petang Allah mudahkan segalanya. Bilal dilahirkan dengan selamat.
“Sentiasa ada di sisi, terima kasih suamiku. Walaupun mencabar selama lima hari di hospital, tapi itu antara hari atau momen terindah bersama suami sepanjang berkahwin,” katanya.
Untuk info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

