Kes 1
Aiman bekerja sebagai kakitangan awam di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Walaupun pekerjaannya tidaklah memperoleh gaji yang besar, namun kehidupannya bersama isteri dan tujuh orang anak sentiasa mencukupi. Mereka sekeluarga menetap di rumah pusaka peninggalan ayah mertuanya di sebuah kampung dalam kawasan Banting.
Selepas kematian bapa mertuanya, kehidupan mereka sekeluarga sering diganggu dengan perkara-perkara yang pelik ketika di rumah. Ada masa dia mengalami seram sejuk secara tiba-tiba. Ada masanya juga dia seakan merasakan ada sesuatu yang sering memerhatikan keluarganya. Sampailah satu hari apabila isterinya meracau-racau seperti dirasuk. Bukan isterinya sahaja bahkan anak-anaknya juga mengalami nasib yang sama.
Tidak tahan dengan gangguan tersebut, dia bertemu dengan seorang perawat yang selalu mengendalikan masalah seperti ini. Melalui perawat ini, dia perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan antaranya perlu menyediakan pulut kuning tiga mangkuk dan telur ayam kampung tujuh biji. Seusai itu, perawat akan membaca mantera bagi menyeru tujuh pembantunya untuk datang membantu.
Syarat-syarat tersebut perlu dipenuhi, bertujuan untuk memberi jamuan kepada tujuh pembantu perawat tersebut bagi memulihkan rumah yang didudukinya sekarang. Setelah rawatan selesai terpulang padanya untuk memberikan berapa pun upah.
Kes 2
Syahril berkahwin dengan Ida, seorang wanita cantik yang dikenalinya di tempat kerja. Padanya Ida cukup sempurna dari segi kecantikan dan akhlaknya yang sentiasa hormat pada orang tua. Apatah lagi, Ida memiliki sifat-sifat keibuan yang sememangnya menjadi kriteria utamanya untuk mencari pasangan hidup.
Setelah lama berkahwin dan memiliki seorang anak, baru dia sedari Ida mempunyai saka yang diturunkan dari keluarganya.
Bagi membuang saka tersebut, dia membawa Ida bertemu seorang perawat kampung. Melalui perawat ini, Ida dikehendaki menjalani rawatan bersama kaum keluarganya yang lain. Mereka dikehendaki berendam dalam laut pada waktu tengah malam. Selain itu, mereka juga dikehendaki menyediakan seekor kambing sebagai syarat rawatan. Dek kerana sukar untuk memenuhi syarat rawatan tersebut, maka Syahril dan Ida mengambil kata sepakat untuk berjumpa dengat perawat yang lain.
Memancing Dengan Pengeras
Kes-kes yang dinyatakan ini adalah sebahagian dari kisah-kisah yang pernah berlaku dalam masyarakat kita. Seringkali apabila berlaku sesuatu penyakit yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah rawatan moden, ia akan dirujuk kepada rawatan tradisional. Melalui rawatan alternatif ini, pesakit akan dirawat dengan pelbagai kaedah, yang turut disertakan dengan syarat-syarat yang pelik.

Justeru itu tidak mustahil kita selalu dengar ada perawat yang menyuruh pesakit menyediakan bahan-bahan yang pelik bagi memenuhi syarat rawatan tersebut sebagai pengeras rawatan. Ada yang menyuruh disediakan pulut kuning, ayam kampung berbulu hitam, telur ayam, kambing panggang dan berbagai lagi bahan. Bukan itu sahaja, ada juga yang menetapkan syarat melalui bayaran duit seperti RM15 sen, RM25 sen atau lain-lain nilai.
Persoalannya, perlukah syarat-syarat tersebut dipenuhi dalam sesuatu rawatan bagi mengubati penyakit? Siapakah yang menetapkan syarat tersebut dan untuk apakah bahan tersebut digunakan?
Merungkai permasalahan ini secara mendalam bagi mendapatkan jawapan yang sahih persoalan di atas, al-Islam telah menemui seorang perawat tradisonal dikenali sebagai Haji Idris, yang mengenakan syarat-syarat tertentu dalam rawatannya. Menurutnya, dalam ilmu perubatan tradisional, istilah pengeras dirujuk sebagai upah, bukan dirujuk kepada syarat-syarat merawat.
Contoh yang mudah untuk difahami, seorang pesakit mendapatkan rawatan dan disyaratkan untuk menyediakan wang RM25 sen bagi mengubati penyakitnya. Jadi pesakit tersebut perlu menyediakan RM25 sen dan pengerasnya (upah) terpulang pada budi bicara pesakit untuk membayar berapa pun nilainya.
Pengeras tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, boleh juga dalam bentuk apa pun mengikut kemampuan pesakit. Sebaliknya syarat seperti RM25 sen, atau pulut kuning atau apa pun yang ditetapkan perawat, perlu disediakan kerana itu syarat untuk sembuh.
Tambahnya lagi, melalui rawatan yang dijalankan, syarat nilai wang bergantung kepada dua perkara. Pertama syarat tersebut ditetapkan oleh makhluk yang berada dalam badan pesakit setelah berinteraksi dengannya. Manakala yang kedua, nilai wang ditentukan setelah melihat latarbelakang pesakit dan dibuat hitungan rukyah atau hisab Jawa.
Walau bagaimanapun, bukan semua penyakit akan ditetapkan syarat-syarat tertentu. Hanya penyakit yang biasanya melibatkan gangguan makhluk halus sahaja yang akan menggunakan syarat tersebut, sebagai memancingnya keluar dari tubuh pesakit.

Sebaliknya, jika makhluk tersebut masih enggan, keluar maka rawatan yang lebih berat dikenakan bagi memaksanya keluar. Kerana itu jika kita lihat, perawat-perawat terpaksa meletakkan syarat-syarat tertentu yang kadang-kadang melampau, kerana itu merupakan permintaan yang dibuat sendiri oleh makhluk halus tersebut.
Dalam masa yang sama, segala duit-duit yang dibayar oleh pesakit sebagai syarat rawatan ini, akan ditanam di tengah laut ketika air surut jika jumlahnya kecil. Sebaliknya jika besar jumlahnya, akan dikumpul dan kemudian disedekahkan kepada anak-anak yatim atau ke tabung masjid. Ia tidak digunakan untuk perbelanjaan seharian.
Ditanya pula ke mana makhluk-makhluk tersebut dibuang, menurut Hj. Idris, makhluk yang berjaya keluar dari tubuh seseorang akan dipindahkan ke tempat-tempat tertentu seperti pada pokok, busut dan sebagainya.
Dan jika makhluk tersebut ada kebarangkalian untuk mengganggu kembali pesakit, maka makhluk itu akan dimasukkan dalam botol dan dibuang dalam laut atau ditanam di hutan.  Wallahu a’lam     Â
________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

