Ramai yang menganggap faktor fizikal, pemakanan dan gaya hidup menjadi penyumbang utama kepada masalah berdengkur. Mungkin ada yang menganggap berdengkur adalah perkara biasa, namun ia sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan dan kesihatan jika masalah dengkur menjadi lebih serius.
Berdengkur sewaktu tidur menyebabkan tidur mudah terganggu dan membuatkan kita terjaga daripada tidur seterusnya mengambil masa untuk kembali nyenyak. Gangguan tersebut ada kalanya menyebabkan kita tidak cukup tidur, berasa letih dan mengantuk pada waktu siang keesokan harinya.
Dengkuran di kalangan kanak-kanak memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kehidupan sosial, berdengkur juga boleh menjejaskan daya tumpu.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Namun, dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga daripada tidur (apnea tidur) iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah tingkah laku di kalangan kanak-kanak termasuk mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian ketika di sekolah.
Punca dengkuran kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Dengkuran kanak-kanak biasanya disebabkan masalah tonsil atau adenoid (pengumpulan tisu limfatik pada bahagian belakang hidung). Rawatan untuk kanak-kanak berdengkur juga lebih mudah iaitu dengan membuang tonsil yang bengkak atau besar.
PUNCA KANAK-KANAK BERDENGKUR:
• Bentuk anatomi seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.
•            Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.
•            Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim).

BEBERAPA FAKTOR LAIN BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG BERDENGKUR SEPERTI:
Bentuk mulut iaitu sama ada lelangit lembut terlalu rendah, uvula panjang, lidah terlalu besar atau tonsil bersaiz besar — semuanya boleh menghalang saluran udara.
Kegemukan juga menyebabkan saiz empat bahagian berkenaan bertambah dan mengakibatkan dengkuran bertambah teruk.
• Terlalu letih.
• Minum banyak minuman keras sebelum tidur.
• Masalah saluran pernafasan.
• Mengalami masalah apnea tidur. Seseorang itu dikatakan mengalami apnea tidur apabila pernafasannya terhenti seketika sewaktu dia tidur. Dengkuran kuat juga terhenti seketika (biasanya lebih kurang 10 saat).

