amalan sekecil zarah

Baginda s.a.w. bersabda, “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya.” (HR Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi dalam kitab Syarah Sahih Muslim, para ulama memberi maksud dengan dua perkara iaitu pertama hartanya diberkati dan dihindarkan dari bahaya. Harta tersebut tidak berkurang sedikit pun dengan sebab keberkatan dari sedekah yang diberi.

Manakala yang kedua, jika sekali pun hartanya berkurang, pengurangan tersebut akan ditutupi dengan pahala yang ia dapat. Bahkan pahala tersebut akan dilipatgandakan dengan sebanyaknya.

Itu merupakan janji Allah yang berfirman dalam surah al-Hadid ayat 18. “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, baik lelaki mahupun wanita dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.”

Sukar sebenarnya mendidik jiwa untuk mengeluarkan sedikit harta apatah lagi untuk seseorang yang tidak dikenalinya. Pasti akan timbul pelbagai andaian sama ada berbaloi atau tidak sedekah yang diberi. Bagi yang nipis keimanannya senipis kulit bawang, sudah barang tentu dibelenggu perasaan takut harta semakin berkurang hanya dengan sebab bersedekah.

Sedangkan jika ia mengimani dengan sebenar-benar iman pada janji Allah dalam surah Saba’ ayat 39, “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba Nya. Dan apa sahaja yang kamu infaqkan, Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang baik.”

Dari itu sudah tentu ia tidak akan gusar atau ragu untuk menginfakkan hartanya kepada orang yang memerlukan atas keyakinan yang padu pada janji Allah. Inilah medan bagi menguji sejauh mana keimanan seorang hamba kepada Penciptanya.

Mungkin mudah untuk melafazkan kata “saya Islam dan saya beriman pada Allah” lalu bagaimana benar apa yang dikata itu jika tidak diimplimentasikan melalui tindakan bagi membuktikan keimanannya.

Sedar atau tidak, sedekah merupakan satu pelaburan yang paling menguntungkan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Inilah satu-satunya amalan sekecil zarah yang Allah balas dengan ganjaran sebesar gunung.

Kesemua hasil keuntungan yang diperoleh melalui sedekah, manfaatnya akan dinikmati ketika masih bernyawa di dunia dan juga di akhirat nanti. Bukan hanya pada dirinya sahaja tetapi mencakupi masyarakat di sekelilingnya.

Walau bagaimanapun sedekah yang dikeluarkan perlu  dilihat dalam dua konteks yang berbeza sama ada manfaat yang diperoleh itu berterusan atau hanya sekali diperoleh sahaja. Mudah kata jika seseorang itu melabur pertama kali dalam industri kewangan, adakah hasil keuntungan yang diperoleh itu hanya sekali diperoleh atau berterusan. Inilah aspek utama yang perlu dilihat pelabur. Wallahu a’lam

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare