Buroq selaju cahaya

Menyamakan buroq sama seperti binatang tunggangan iaitu kuda bersayap atau burung adalah pandangan yang agak dangkal dan kurang tepat sama sekali. Apatah lagi apabila mengatakan ia mampu terbang melepasi ruang atmosfera bumi, dan berterbangan dengan bebas pula di ruang angkasa.

Secara umumnya, binatang bersayap seperti burung hanya dapat terbang dalam ruang atmosfera bumi dengan menggunakan prinsip Hukum Bernouli. Ia berlaku kerana sayap burung berbentuk airfoil. Jadi udara yang mengalir pada bahagian atas sayap burung lebih cepat daripada bahagian bawah sayap, sehingga tekanan di atas lebih rendah dibandingkan dengan tekanan di bawah sayap.

Ketika burung mengepakkan sayapnya, udara akan didorong ke bawah sehingga burung akan terangkat ke atas. Semakin pantas burung mengepakkan sayapnya maka ia akan terbang semakin tinggi, dan kelajuan terbangannya juga semakin bertambah.

Walau begitu, udara tersebut hanya berada dalam ruang troposfera bumi yang memiliki ketebalan sekitar 10 Km. Di lapisan ini terdapatnya proses siklus air, petir, pelangi dan banyak lagi. Ia juga merupakan pusat oksigen berkumpul dan dihirup oleh manusia serta haiwan untuk bernafas.

Lalu bagaimana boleh binatang bersayap yang digambarkan sebagai kuda atau burung dengan wajah wanita dapat melepasi atmosfera, dan terbang bebas di angkasa. Bahkan bagaimana pula seorang nabi yang juga manusia biasa, mampu bertahan dalam ruang yang tidak mempunyai udara dengan menaiki seekor binatang tunggangan sepantas kelajuan cahaya. Memang, sungguh tidak dapat diterima dek akal yang waras.

Justeru melihat dari persepektif sains tentang keboleh upayaan sesuatu objek untuk bergerak dengan kelajuan cahaya, menurut Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil, Pensyarah di Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam teori hukum fizik, tidak ada sebarang objek yang boleh bergerak mengatasi atau menyamai kelajuan cahaya.

Mengikut perkiraan sains, kelajuan cahaya adalah 300 ribu Km persaat. Bermakna dalam tempoh satu saat, cahaya boleh bergerak dengan kadar kelajuan 300 ribu Km.

“Dalam zaman moden ini kita sudah boleh mengira had laju cahaya dengan tepat. Dan untuk mengira cahaya dengan tepat, jarak itu perlu sebesar mungkin dan masa itu kena sekecil mungkin.”

Justeru itu ujarnya, dalam hal ini kita boleh mengira berapa tempoh masa kelajuan cahaya yang diambil Baginda s.a.w. dari Mekah ke Palestin, dengan mengira jarak antara kedua tempat tersebut.

Bagaimana suatu objek boleh melepasi ruang atmosfera dengan begitu cepat?

Oleh itu jika jaraknya dekat, bermakna semakin cepat cahaya itu akan sampai. Sebaliknya jika jaraknya jauh, maka cahaya yang sampai menjadi lambat. Analogi paling mudah ialah perkiraan cahaya matahari menuju ke bumi mengambil masa selama lapan minit untuk sampai kerana jaraknya yang terlalu jauh.

Dalam hal ini Einstein berpandangan, sesuatu objek yang ingin bergerak dengan pantas maka ia memerlukan tenaga yang besar. Semakin pantas objek tersebut bergerak, semakin besar tenaga yang diperlukan.

Maka itu jika ada objek yang ingin bergerak dengan kelajuan cahaya, ia memerlukan tenaga yang tidak terhingga banyaknya. Dek kerana itu halaju cahaya seakan meletakkan batas yang kita sebagai manusia biasa tidak boleh bergerak lebih laju dari cahaya.

Apa yang disebutkan oleh sains di atas, ironinya sangat bertentangan dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Hadis. Sains dengan jelas menyebutkan bahawa tiada objek yang boleh bergerak seiring dengan kelajuan cahaya, atau lebih laju dari cahaya. Sedangkan melihat pada perbahasan ulama dalam penulisan sebelumnya, dengan jelas menyatakan binatang buroq itu mempunyai kelajuan cahaya seperti kilat sesuai dengan namanya.

Apatah lagi melihat pada jarak perjalanan Baginda s.a.w. dari Mekah ke Palestin dan terus ke Sidrat al-Muntaha yang mungkin berada jauh dan diluar dimensi kita. Sudah pasti buroq yang dinaiki Baginda s.a.w. sebenarnya bukanlah binatang yang biasa sebagaimana yang digambarkan oleh masyarakat umum.

Dengan kata lain, menurut akal fikiran yang waras, jarak yang sedemikian jauhnya tidak mungkin dapat dicapai hanya dalam satu malam sahaja. Bahkan untuk keluar dari ruang atmosfera bumi dengan jarak seratus Km juga memerlukan kenderaan atau peralatan yang sangat canggih dan hebat seperti kapal terbang roket. Sedangkan di zaman tersebut belum ada lagi teknologi yang mampu membawa objek terbang ke udara waima kereta sekalipun.

Menurut Wan Mohd Aimran lagi, inilah salah satu perkara yang menjadi ujian pada kita sebagai umat Islam samada untuk beriman kepada Allah ataupun tidak. Dalam hal ini mana satu yang betul, adakah fizik betul atau al-Quran betul?

Sudah pasti sebagai umat Islam kita wajib percaya juga bahawa Israk Mikraj itu berlaku meskipun ada batasan bahawa tiada objek boleh bergerak selaju cahaya. Kita boleh mengira jarak tersebut namun sebagai orang Islam yang beriman kepada rukun Iman yang enam, asas yang perlu kita sandarkan adalah pada al-Quran dan al-Hadis sekalipun sains dan lojik akal menafikan perkara tersebut. Ini kerana kedua-dua sumber tersebut menjadi pegangangan umat Islam dan wajib diimani bukan melihat kepada perkiraan sains semata.

Cahaya matahari untuk sampai ke bumi memerlukan 8 minit sedangkan buroq kelajuannya melangkaui dari itu.

Apatah lagi ia berlaku dalam satu malam dengan jarak perjalanan yang besar. Jadi kita perlu ikrarkan bahawa ia adalah peristiwa ghaib yang wajib kita imani sebagaimana dalam rukun iman.  Dan wajib kita percaya kerana kita wajib beriman kepada al-Quran.

Justeru untuk melihat bagaimana hakikat dari binatang buroq itu? apakah ia? dan adakah ia memiliki sayap? berapa pula kelajuannya ketika melangkah? bagaimana ia boleh selamat melintasi atmosfera bumi?

Maka segala jawapan dari persoalan tersebut termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib, yang tidak boleh mengatakannya lebih dari nas-nas yang sahih, yang membincangkan tentangnya.

Adapun sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah, kita tidak dituntut untuk menakwilkannya, sebaliknya dituntut untuk mengimaninya sahaja. Dan apabila hal-hal ini ada manfaatnya bagi kehidupan kita, sudah pastilah Baginda s.a.w. akan menjelaskan secara terperinci pada kita umpamanya solat.

Namun memberi gambaran yang salah terhadap sesuatu perkara yang tidak tercatat dalam nas-nas al-Quran atau hadis, apatah lagi hingga mendatangkan kejelikkan atau penghinaan terhadap Baginda s.a.w. adalah tindakan yang sangat hina. Perbuatan ini secara jelas telah menyimpang dari syariat Islam dengan mendatangkan fitnah yang besar kepada Baginda s.a.w. dan agama Islam. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare