BEBERAPA pemimpin Pemuda UMNO melahirkan melahirkan rasa kesal dan terkilan apabila kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicemari oleh tindakan segelintir penyokong BN yang berkelakuan amat biadab dan kurang ajar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Farid Md Nor berkata, pergerakan itu kesal dengan tindakan provokasi segelintir penyokong BN dengan menjerit-jerit meminta Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan segera.

“Tindakan sebegini bukanlah budaya UMNO. Ia adalah tindakan keterlaluan yang memberi impak negatif kepada Barisan Nasional dan jelas tidak menghormati institusi Perdana Menteri yang ditunjangi UMNO,” katanya.
Beliau berkat, tindakan kumpulan itu juga memberi persepsi seolah-olah UMNO merupakan sebuah parti yang rakus, bongkak dan terlalu kuat selepas menang besar di PRN Johor.
Katanya, Pemuda UMNO Pahang berpendirian, setiap keputusan besar seperti ini haruslah dibincang secara terperinci terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi BN.
“Kita perlu menilai betul-betul persediaan dan kemampuan kita sebelum memutuskan untuk mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat.
Jaga lah perpaduan, hubungan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati sesama kita. Inilah kunci kejayaan kita selama ini,” katanya.
BERITA BERKAITAN Laungan bubar Parlimen di hadapan PM biadab! – Amin

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, kemenangan BN dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di PRN Johor mengesahkan momentum yang dibawa sejak dari PRN Melaka dan beberapa PRK sebelum sebagai isyarat bahawa rakyat mendambakan kestabilan pemerintahan.
“Namun, dalam kegembiraan meraikan kemenangan BN menggalas tanggungjawab pemerintahan, saya secara peribadi merasa sedikit ralat dan terkilan apabila terlihat di khalayak, ‘segelintir’ pihak yang melaungkan frasa ‘Bubar Parlimen!’ ‘di atas muka’ Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan cara yang boleh dikatakan amat biadab dan kurang ajar.,” katanya.
Katanya, kemenangan BN itu hadir bersama besarnya tanggungjawab untuk membawa aspirasi rakyat dan semestinya tidak dapat dinafikan sama sekali ‘mood’ rakyat yang menyebelahi BN dicapai dari rasa yakinnya rakyat di bawah kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari BN yang sedang memacu kerajaan ke arah pemulihan berikutan pelbagai musibah yang melanda negara.
“Juga tak dilupakan sokongan padu dan jitu Presiden UMNO serta seluruh saf kepimpinan UMNO dan BN terhadap beliau, maka amat tidak wajar jika segelintir pihak ini bersikap kurang ajar kepada Perdana Menteri seolah-olah beliau datang dari pihak lawan.,” katanya.
Sharul Fadhel berkata, pembubaran Parlimen bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah dan tidak boleh dilakukan dengan emosi dan banyak aspek perlu diambil kira.
“Jangan nanti dengan sikap terburu-buru merasa terlalu yakin membuatkan rakyat menjadi ‘meluat’ dan ‘mood’ rakyat beralih kepada pihak lain dalam PRU-15 kelak,” tambahnya. – UtusanTV

