SECARA logiknya, seorang doktor akan merawat dan membantu pesakit untuk terus hidup. Tapi, mungkin berbeza dengan Jack Kevorkian, seorang doktor yang juga ahli patologi yang menawarkan bantuan kepada pesakit yang mahu mengakhiri riwayat mereka.
Kevorkian atau nama sebenarnya Murad Jaacob Jack Kevorkian lahir pada 1928 di Michigan, Amerika Syarikat. Sejak kecil, beliau dikenali sebagai kanak-kanak yang pintar. Tidak hairanlah dia mampu menguasai beberapa bahasa seperti Jerman, Rusia, Greek dan Jepun.
Kevorkian melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Sejak bergelar doktor, dia sudah mula memberi idea tentang metod proses kematian, dengan menekankan pesakit boleh membuat pilihan jika mahu menamatkan riwayat mereka. Tetapi semua ideanya ditolak.
Kevorkian memperjuangkan metod membunuh diri melalui cara Eutanasia, iaitu perbuatan untuk ’mematikan’ seseorang dengan sengaja bagi menghilangkan penderitaan hidupnya.
Bagi Kevorkian, menamatkan riwayat seseorang atas kerelaannya yang terseksa akibat menanggung penyakit kronik adalah lebih baik daripada melihat mereka terus hidup menderita kesakitan.

Pada tahun 1987, Kevorkian mula mengiklankan khidmatnya sebagai doktor perunding untuk kaunseling kematian di akhbar Detroit Free Press. Akhbar ini diedarkan secara meluas di negeri Michigan, Amerika Syarikat.
Sambutan yang diterimanya sangat menggalakkan. Untuk tujuan itu, Kevorkian telah mencipta Thanatron iaitu mesin ‘pencabut nyawa’ yang digunakan dalam proses mematikan pesakit.
Pesakit akan berbaring dan wayar peranti khas dipasangkan pada bahagian lengan. Apabila pesakit sudah bersedia untuk mati, mereka akan menekan butang suis bagi membenarkan larutan cecair kimia masuk ke dalam badan.
Setelah pesakit tidak sedarkan diri, larutan kalium klorida pula disuntik ke tubuh pesakit bagi menghentikan degupan jantung. Saat itu, pesakit kelihatan seperti mengalami serangan jantung sebelum tertidur untuk selamanya. Kematian ini, menurut Kevorkian, tidak menyakitkan. Ia mudah dan cepat.

Orang pertama yang mendapatkan perkhidmatan ini adalah Janet Adkins, 54. Wanita dari Portland, Oregon ini menghidap penyakit Alzheimer dan dia secara sukarela memutuskan untuk mati cepat daripada waktu yang sepatutnya.
Dari tahun 1990 hingga 1999, Kevorkian telah ‘membantu’ seramai 130 pesakit untuk membunuh diri. Bermula dari situ, orang ramai menggelar lelaki ini sebagai ‘Dr. Death’ (Dr. Kematian).
Bagaimanapun, nasib Kevorkian berubah selepas membenarkan rakaman video sulit yang diambil pada 17 September 1998 disiarkan Stesen Televisyen Berita CBS kepada umum.
Siaran yang disiarkan pada 22 November 1998 itu mendedahkan bagaimana Kevorkian sedang memberi suntikan kepada Thomas Youk, 54, sukarelawan Eutanasia yang mengidap penyakit Lou Gehrig tahap akhir, untuk ditamatkan riwayatnya.
Akibat pendedahan berani itu, dia menerima tuduhan membunuh kerana menyebabkan kematian Youk.
Kevorkian menentang keras pertuduhan tersebut. Baginya, membela hak pesakit yang ingin mati dengan cara membunuh diri bukanlah satu perbuatan jahat. Keinginan mereka mahu mati dengan cara begitu adalah hak peribadi seseorang. Ia tidak ada kena mengena dengan undang-undang ataupun kerajaan.

Apa pun alasannya, Kevorkian tetap dianggap bersalah dan dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 25 tahun pada 26 Mac 1999. Kevorkian menjalani hukuman selama lapan tahun sebelum dilepaskan secara parol kerana berkelakuan baik.
Pada 1 Jun 2007, lelaki ini dibebaskan dengan dua syarat. Pertama, melupakan niat membantu orang lain mati. Kedua, dilarang memberi rawatan kepada pesakit yang lanjut usia.
Selepas bebas dari penjara, Kevorkian lebih banyak bertugas sebagai pensyarah di beberapa universiti selain sering di undang untuk sesi temuramah bersama media dan perbincangan forum.


Dalam setiap kata-katanya, Kevorkian masih terus menyokong metod Eutanasia. Malah, pada Mac 2008, dia telah mencalonkan diri untuk mewakili rakyat Michigan dalam kongres Amerika Syarikat.
Tujuan Kevorkian bertanding kerana mahu membawa pembaharuan dalam kerajaan, terutama sekali menghalalkan kaedah Eutanasia dalam bidang perubatan. Namun, dia kalah dalam pertandingan itu.
Kisah hidup Kevorkian juga diangkat ke layar perak menerusi filem You Don’t Know Jack yang ditayangkan pada 2010. Watak Kevorkian dilakonkan oleh aktor Al Pacino sehingga pelakon itu menerima augerah Emmy dan Golden Globe atas lakonannya dalam filem tersebut.

Kevorkian meninggal dunia pada 3 Jun 2011 kerana masalah buah pinggang dan pneumonia di usia 83 tahun. Pada batu nisannya tertulis kata-kata berbunyi “Dia mengorbankan dirinya untuk hak semua orang”.
Info Tentang Eutanasia
- Perkataan “eutanasia” berasal dari kata gabung bahasa Yunani iaitu “eu” (baik) and “thanatos” (maut, kematian) yang bererti “kematian yang baik”.
- Amalan Eutanasia masih menimbulkan perdebatan bukan saja kerana membabitkan moral dan etika tetapi juga tentang definisinya. Banyak negara yang mengharamkan Eutanasia, namun masih ada beberapa tempat yang menghalalkannya.
- Penyokong amalan ini mendakwa mematikan seseorang yang menghidap penyakit kronik atas kerelaan pesakit itu merupakan perbuatan yang berperikemanusiaan. Manakala penentang amalan ini menyifatkan kaedah itu sebagai satu bentuk pembunuhan.
- Penyokong Eutanasia mula terbentuk di England dan Amerika Syarikat sekitar tahun 1930-an. Pada tahun 1937, amalan Eutanasia dengan bantuan doktor dibenarkan di Switzerland dengan syarat, tiada keuntungan diperolehi dari kematian pesakit tersebut.
- Pada tahun 1939, pasukan Nazi Jerman menjalankan program Eutanasia terhadap kanak-kanak yang cacat fizikal, menghidap kerencatan mental atau gangguan abnormal lain yang membuat hidup mereka kelak sebagai satu beban dan tiada guna dalam masyarakat. Program itu dikenali sebagai ‘Aktion T4’ dan kemudian turut dijalankan kepada golongan dewasa.
- Dalam Islam, amalan ini dianggap haram kerana ia menyamai dengan perbuatan membunuh diri. Menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)”.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

