LEON Kong (kiri) dan Kambiz Khanlari

SYARIKAT teknologi hartanah yang disokong oleh Kumpulan Catcha, Instahome mengumumkan pelantikan dua pengurusan kanan baharu iaitu Leon Kong sebagai Pengurus Negara Malaysia dan Kambiz Khanlari sebagai Ketua Pegawai Teknologi yang merupakan sebahagian daripada langkah pengukuhan dan pengemban gan syarikat.

Leon yang mempunyai rekod pencapaian terbaik selama hampir dua dekad dalam industri, pernah memainkan peranan utama dalam kepemimpinan beberapa syarikat hartanah dalam talian dan perniagaan PropTech (teknologi hartanah) yang berkembang pesat.

Pada 2003, Leon merupakan pengasas bersama iProperty Group, salah sebuah syarikat pemula paling berjaya di Asia Tenggara yang kini beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. iProperty kemudiannya diambil alih oleh REA Group pada 2015 dengan nilai RM2.241 bilion (AS$534 juta) sebagai langkah penggabungan syarikat pengiklanan hartanah terbesar di rantau ini.

Ketika bersama iProperty, Leon membina konsep perniagaan yang kukuh dengan menghubungkan ejen-ejen hartanah serta pemaju dalam satu platform dan seterusnya membentuk satu pasukan berdedikasi yang berjaya memacu pertumbuhan jualan di sektor tersebut.

Dalam masa 15 tahun terlibat dalam transformasi digital sektor hartanah bersama-sama ejen hartanah di Malaysia, Leon telah melatih lebih daripada 50,000 ejen dan berjaya meyakinkan mereka mengenai kelebihan menggunakan penyelesaian pengiklanan dalam talian yang kini telah bertapak kukuh dan memberi impak besar terhadap perniagaan hartanah mereka.

Pada 2020, Leon menyertai JuwaiIQI, sebuah kumpulan PropTech terkemuka Asia sebagai Pengurus Besar bahagian penyelesaian pengiklanan dalam talian dan setahun kemudian JuwaiIQI berjaya mencapai rekod jualan hartanah kediaman tertinggi dengan mencatatkan 31,000 transaksi di seluruh dunia.

Sebagai Pengurus Negara Instahome Malaysia, Leon yang mempunyai pengalaman luas dalam hubungan pelanggan, akan bertanggungjawab dalam mengukuhkan operasi harian syarikat serta hubungan pelanggan di semua peringkat dan seterusnya memacu pembangunan perniagaan.

BERITA BERKAITAN Pemilikan rumah, pengguguran 144 atlet tumpuan Dewan Rakyat

Sementara itu, Kambiz menyertai Instahome sebagai Ketua Pegawai Teknologi dengan membawa rekod pengalaman dan kemahiran yang mengkagumkan selama 15 tahun dalam pelbagai bidang teknologi dan industri seperti InsurTech (teknologi insurans), automasi pejabat dan perkakasan.

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri, Kambiz telah berkhidmat selama dua tahun di iMoney dengan menerajui pasukan teknologi kewangan (FinTech) yang mana beliau bekerja rapat dengan pihak bank, penyedia insurans dan syarikat telekomunikasi di seluruh Malaysia, Indonesia dan Filipina dengan melaksanakan sistem platform perbandingan.

Sebelum di iMoney, Kambiz memegang beberapa jawatan pengurusan kanan dalam iProperty Group, termasuk sebagai Ketua Pasukan Pembangunan Perisian dan Arkitek Sistem Awan Utama.

Beliau memainkan peranan penting dalam membina dan meningkatkan keupayaan teknologi dan pasukan iProperty di seluruh Asia Tenggara, selain mempunyai pengalaman luas mengetuai pasukan merentasi pelbagai budaya dan negara di Hong Kong, Indonesia, Malaysia, China dan Australia dalam memperkukuh dan mengembangkan platform digital serantau mereka.

Dalam peranan baharunya, Kambiz akan bertanggungjawab untuk melengkapkan himpunan penyelesaian tangkas merentas berbilang saluran dan titik sentuh, selain daripada menerajui pelan hala tuju dan pembangunan produk sambil mencipta pengalaman digital terfokus data untuk pelanggan serta mengoptimumkan penyelesaian sedia sistem awan untuk meneruskan transformasi syarikat.

Eric Tan Leong Yit

Pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha Instahome ke arah membina lagi momentum pertumbuhannya. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Instahome, Eric Tan Leong Yit berkata: “Memandangkan terdapatnya perubahan dalam tingkah laku penyewa, kami dapat melihat peluang pasaran yang sangat besar.

“Dalam misi menyediakan pengalaman penyewaan rumah yang lancar untuk penyewa, ejen dan tuan tanah, kami perlu menyelaraskan dan mengembangkan keupayaan kami untuk lebih fokus ke hadapan dan mencipta nilai terbaik untuk semua pihak berkepentingan. Kami juga sedang mengusahakan penyelesaian digital yang dapat membantu merealisasikan perkara tersebut.”

“Inilah sebabnya saya sangat teruja untuk mengalu-alukan kemasukan Leon dan Kambiz ke dalam pasukan. Pengalaman luas dan kepakaran mereka akan mengukuhkan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang kompleks. Mereka akan membantu mengukuhkan komitmen syarikat untuk menjadikan proses penyewaan rumah di negara ini semudah membeli baju-T dalam talian,” katanya.

Katanya, dengan penyertaan Leon dan Kambiz, Instahome akan memperkenalkan pelbagai penyelesaian baharu yang selaras dengan komitmen Instahome untuk melancarkan proses penyewaan rumah untuk digunakan oleh tuan tanah, ejen dan penyewa.

Pada Februari 2022, Instahome telah diiktiraf sebagai sebuah daripada 10 syarikat yang paling pesat berkembang di Malaysia berdasarkan pertumbuhan trafik tahun ke tahun (YoY) dari 2021 oleh SimilarWeb.

Dengan tumpuan yang kuat pada penyenaraian berkualiti, Instahome terus memadankan ratusan penyewa baharu dengan rumah idaman mereka setiap bulan. Kira-kira 50% daripada rumah yang dikujungi secara physical melalui Instahome telah berjaya disewa. – UTUSANTV