Apabila kita kembali mempelajari al-Quran dan mesej-mesej dari Allah S.W.T. ia akan membawa kita kepada sunah Rasulullah s.a.w. Ini perlu ditegaskan kerana ada pihak yang menyatakan, mereka hanya mahu berpegang kepada al-Quran sahaja, sedangkan hadis Nabi s.a.w membawa kepada kekeliruan.
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (Al-Hasyr: 7)
Ini adalah perintah daripada al-Quran. Rasulullah s.a.w. juga datang dengan membawa wahyu daripada-Nya, dan janganlah keliru atau diperbodohkan oleh golongan yang mendakwa mahu berpegang kepada al-Quran semata-mata, serta menolak apa juga di luar dari al-Quran.
Sebenarnya al-Quran akan membawa kita kepada banyak perkara lain, malah ia mengajak mereka yang tidak berilmu mencari kebenaran dengan orang yang lebih berilmu sebagaimana firman Nya
“… maka tanyalah kamu kepada ahlu zikir (yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui ” (Al-Anbiya’: 7)
Jika kita membaca al-Quran dan menghadapi masalah memahaminya, janganlah cuba menjawabnya sendiri tanpa meminta penjelasan daripada mereka yang mempunyai ilmu yang sahih. Mereka yang berhujah menggunakan al-Quran dan sunah dengan tepat adalah lebih baik diikuti, berbanding yang tidak berbuat demikian.
Begitu juga, janganlah menghina Nabi s.a.w. dengan menyatakan anda seorang yang hanya mengikut al-Quran. Firman Allah
“Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk- buruk tempat kembali.” (An-Nisaa’: 115 )
Bagaimana seseorang boleh memahami mesej al-Quran jika dia tidak melihat cara ia diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. yang diturunkan wahyu kepadanya? Kita mesti faham bahawa Allah S.W.T. sendiri memerintahkan agar kita mengikut Muhammad s.a.w.
Dikelirukan Syaitan
Ketahuilah, apabila seseorang mempelajari al-Quran, syaitan akan cuba mengelirukan sehingga membangkitkan kemunafikan. Dia membuat kita rasa, apabila secara luaran kita kembali kepada Allah, kita tidak perlu bimbang lagi tentang hal-hal dalaman. Tidak perlu membina peribadi mulia, atau melayan orang lain dengan rasa hormat. Maka kita menjadi orang yang sombong.

Selain itu, ada kalanya apabila seseorang mendapat hidayah di pertengahan hidupnya, dia bersikap amat tegas dengan orang lain, dan mahu mereka berubah dengan segera. Sememangnya kita mahu orang lain juga mendapat hidayah. Bagaimanapun, sedarlah bahawa tanggungjawab kita ialah menyampaikan mesej dakwah sahaja, selebihnya ialah dalam tangan Allah.
Ada juga yang mula benci dengan orang yang tidak setaraf dari segi agama. Ini juga ialah kekeliruan yang dihembus oleh syaitan. Dia membuat golongan ini menyangka pegangan dan amalan mereka lebih baik, tetapi pihak yang dipandang rendah itu mungkin jauh lebih baik.
Allah berfirman, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”(Al Hujurat: 13)
Keliru Dengan Ujian
Melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w. juga kita tahu bahawa ada orang yang mendapat hidayah pada saat-saat akhir hidup mereka. Mereka ini lebih bernasib baik daripada orang-orang yang patuh kepada agama sepanjang hidup mereka, tetapi sesat di akhirnya.
Janganlah berfikir jika hari ini kita berada di jalan yang benar, tidak ada halangan yang akan merentanginya nanti. Perjalanan kita ialah mengikut jalan yang lurus (siratalmustakim), dan tidak ada kekeliruan dalam hal ini. Percayalah, terdapat banyak halangan atau cabaran yang berupa ujian dalam perjalanan itu. Jika kita dapat mengatasinya, kita akan menjadi lebih baik.
Firman-Nya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka belum diuji?” (Al-Ankabut: 2)
Ramai orang yang diuji dengan penyakit, kesempitan wang, masalah rumah tangga dan hubungan kekeluargaan serta berbagai-bagai cabaran dalam hidup. Ada yang mengatakan mereka dihukum oleh Allah. Realitinya, pihak yang berkata demikian sebenarnya keliru.
Setiap daripada kita pernah jatuh sakit atau ditimpa masalah, tetapi tidak bermakna kita sedang dihukum. Keadaan itu sebenarnya adalah satu kesempatan untuk berasa dekat dan perlukan-Nya. Ini ialah satu pemberian Allah untuk mengenali siapa Pencipta kita kerana Dia membuat kita menghadapi satu cabaran.

Jadi janganlah keliru, seperti mana sesetengah orang yang hilang keimanan kepada Allah kerana ujian-ujian yang diturunkan. Sebenarnya, ujian-ujian itu bukan sahaja dihadapi oleh orang Islam, tetapi juga bukan Islam.
Tetapi cara orang beriman menghadapinya berbeza, mereka akan melaluinya dengan penuh keredhaan, sehingga mendorongnya lebih dekat kepada Allah. Manakala bagi orang yang tidak beriman, ujian-ujian tersebut akan membawa mereka lebih jauh daripada Penciptanya.
Salah satu isu kekeliruan ialah, apabila berhadapan dengan krisis, kita perlu mengatasinya sebagai satu cara untuk dekat kepada Allah. Bukan mengatasinya dengan cara mendekati syaitan. Contohnya, apabila diuji dengan penyakit yang sukar diubati, ada yang sanggup mengamalkan perkara syirik semasa berubat. Sedangkan tegahan amalan sihir dan syirik dinyatakan dalam al-Quran dengan jelas.
Sebab itulah amat penting sekali kita belajar dan memahami kitab yang diturunkan Allah ini. Malang sekali ramai umat Islam hanya tahu membaca, tetapi tidak memberi tumpuan untuk memahami maksud ayat-ayat Allah. Sekiranya mereka memahaminya, tidak ada sesiapa yang boleh mengelirukan mereka. Wallahu a’lam
________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

