PELAKON suara terkenal, Asyiela Putri belum terfikir untuk berhenti daripada terus meminjamkan suaranya untuk animasi Upin & Ipin.

Sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam industri seni, Asyiela,22, turut mempunyai waktu ‘jatuh bangun’ dalam menjayakan animasi terbitan Les’Copaque berkenaan.

“Masa awal-awal jadi pelakon suara, saya tidak tahu nak jangkakan apa-apa. Bila dapat rasa pengalaman baharu, saya rasakan ianya sangat menyeronokkan.

“Kerja memang susah, tetapi dalam masa yang sama dapat menggilap kemahiran saya dalam lakonan suara.

“Apabila menjadi pelakon suara, tugas saya cuma berada di belakang tabir. Tidak sangka orang nak ambil tahu pasal saya. Jadi mesti ada juga yang tidak suka saya. itu yang membuatkan saya ‘turun’.

“Ketika itu saya masih kecil lagi dan tidak tahu bagaimana mahu mengawal emosi apabila berdepan dengan komen negatif. Alhamdulillah, sekarang okay sahaja,” ujarnya kepada URTV.

Tambah penuntut jurusan pengiklanan di Universiti Multimedia (MMU) ini, pihak syarikat sangat memahami akan jadualnya yang memerlukan dia membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.

“Saya tidak pernah rasa nak berhenti menjadi pelakon suara latar Upin & Ipin. Cuma rasa penat dan sakit tekak yang memerlukan untuk saya berehat sahaja.

“Pihak Les’Copaque juga sangat memahami kerana saya masih seorang pelajar. Dalam seminggu, saya perlu membuat rakaman dua kali,” katanya.

Asyiela berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro di The Linc Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, dia turut menolak sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya memiliki teknik rahsia untuk kekal relevan dalam menjayakan suara kanak-kanak meskipun sudah semakin meningkat umur.

“Saya seorang yang tak minum air sejuk. Mungkin sebab itulah. Tiada sebarang teknik rahsia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Asyiela turut meluahkan rasa kesyukuran apabila menerima tawaran bergelar pelakon suara Upin & Ipin pada usia 10 tahun.

“Sebenarnya ayah saya ialah pensyarah animasi dan berkenalan dengan pemilik Les’Copaque. Mereka saling mengenali dalam industri animasi ini.

“Saya berjumpa dan bersembang dengan mereka dalam sebuah majlis. Mereka rasakan suara saya sesuai untuk watak Upin & Ipin,” ujarnya.

Ditanya sekiranya mahu terus berkhidmat menggunakan suaranya sebagai watak utama dalam animasi Upin & Ipin, Asyiela menjawab ringkas “Insya-Allah, selagi boleh”.

Malah, Asyiela juga memberi sokongan buat mereka yang berminat menjadi pelakon suara untuk turut mencuba memberanikan diri.

“Pada saya, kalau nak jadi pelakon suara, cuba sahaja dan jangan takut. Pada awalnya pun saya rasa boleh ke untuk jadi pelakon suara.

“Pelakon suara tidak sama seperti pelakon yang betul (beraksi di hadapan kamera). Pengalaman menjadi pelakon suara sangat seronok,” kongsinya.