FILEM CODA dinobatkan sebagai Filem Terbaik Academy Awards 2022 pada acara yang berlangsung hari ini.

CODA atau Child Of Deaf Adults merrupakan arahan pengarah Sian Heder yang mengisahkan tentang gadis yang dilakonkan oleh Emilia Jones, yang menjadi satu-satunya anggota keluarga yang dapat mendengar dalam keluarga yang pekak.

CODA turut mengungguli dua trofi lain iaitu Adaptasi Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh aktor Troy Kotsur.

Kemenangan itu menyaksikan dia menjadi pelakon cacat pendengaran (pekak) merangkul Academy Awards selepas kali terakhir dimenangi oleh Marlee Matlin pada 1987 menerusi filem Children of a Lesser God.

Selain Jones dan Kotsur, CODA turut dibintangi oleh Matlin, Eugenio Derbez, Ferdia Walsh-Peelo dan Daniel Durant.

Filem Dune arahan Denis Villeneuve pula menembusi kebanyakan kategori teknikal termasuk Kesan Visual, Sinematografi, Suntingan, Skor, Bunyi dan Rekaan Produksi Terbaik.

Bagi kategori Pengarah Terbaik pula, ia dimenangi oleh Jane Campion menerusi filem terbitan Netflix, The Power of the Dog.

Bagi kategori lakonan utama, Will Smith yang mencetuskan sensasi apabila menampar pelawak Chris Rock di atas pentas ketika acara bersiaran langsung dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi persembahan lakonan memukau filem King Richard.

Manakala, aktres Jessica Castain membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik (The Eyes of Tammy Faye).

Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, pelakon filem muzikal West Side Story, Ariana DeBose menepati ramalan ramai dengan memenangi kategori berkenaan.

Filem Jepun, Drive My Car yang turut menerima pencalonan Filem Terbaik membawa pulang trofi Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.