BOT belacak buatan anak Malaysia bakal mencipta sejarah baharu menerusi projek mengelilingi dunia dalam misi Pelayaran Julang Jalur Gemilang (PJJG) 2022.
Berbekalkan semangat juang dan patriotik yang tinggi, lapan anggota pasukan PJJG ini mahu memberikan hadiah istimewa sempena meraikan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-65 sekaligus memperbaharui rekod dunia yang kini dipegang oleh pasukan Earthrace dari New Zealand.
Penganjur dan Ketua Misi, Azhar Ariffin berkata, pelayaran tersebut bakal bermula pada 26 Jun dan dijangka tamat 25 Ogos, beberapa hari sebelum hari kemerdekaan Malaysia.
Katanya, bot belacak sepanjang 13.1 meter (43 kaki) dengan lebar 3.18 meter (10 kaki 5 inci) itu telah diubah suai bagi menempuh pelayaran sejauh 23,885 batu nautika dengan jangkaan masa 53 hari.
“Misi PJJG 2022 ini adalah satu kesinambungan daripada Ekspedisi Julang Jalur Gemilang (EJJG) yang telah diadakan pada tahun 2009, 2010, 2012, 2013 dan 2015.
“Selepas EJJG 2013, kami telah berusaha siapkan bot belacak bagi misi mengelilingi dunia tahun ini.
“Istimewanya bot belacak ini adalah sepenuhnya hasil kreatif buatan dan rekaan anak-anak Malaysia. Malah, kami bina pun di bengkel kampung. Kami rasa sangat bangga kalau dapat mengelilingi dunia dengan hasil titik peluh kami.
“Besar harapan kami dapat pulang dengan sebuah rekod dunia baharu dan itu adalah hadiah kami paling besar buat Malaysia,” ujarnya kepada UtusanTV.
Baca artikel berkaitan: Panjang 10.8 cm, lelaki dakwa pemegang rekod baharu lidah terpanjang dunia
Bagi misi PJJG kali ini, Azhar dan pasukan akan menempuh sebanyak 13 perhentian bermula dari Malaysia dan mengarah ke timur sebelum pulang dari arah barat.
Katanya, dia dan pasukan sudah bersiap sedia untuk menempuhi cabaran di laut dengan melakukan persiapan awal bagi menghadapi sebarang kebarangkalian yang di luar jangkaan.
“Cabaran di laut sebenarnya tidak boleh dijangka. Kadang kita rasa keadaan sudah tenang, tetapi tiba-tiba di sebelah petang ada ribut. Sebab itu kami sudah bersedia untuk hadapi ombak besar dengan kedapkan bahagian hadapan bot supaya air tidak masuk.
“Kami juga fikirkan bagaimana cara untuk elakkan bot daripada tenggelam. Rekaan bot kali ini, kami pastikan sekiranya air masuk sekali pun, bot tidak akan tenggelam,” kongsinya,
Menurut Azhar lagi, cabaran terbesar adalah mendapatkan dana bagi membiayai petrol yang menelan kapasiti kira-kira 127,000 liter.
“Kami siapkan bot belacak hasil daripada dana sendiri dan rakan-rakan. Apabila bot mahu bergerak, kami perlukan lebih kurang 127,000 liter minyak.
“Hanya di Malaysia kami isi minyak menggunakan Ringgit Malaysia. Di kawasan lain, kami perlu gunakan mata wang dollar. Setiap satu liter, kami cuba dapatkan AS$1.5 dan perlu lakukan ‘crowd-funding’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azhar berharap agar usaha yang dilakukan bagi meraikan hari kemerdekaan Malaysia dapat membanggakan rakyat sekaligus mengharumkan nama di pentas dunia.
“Kami harap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan terhadap usaha kami. Semenjak Datuk Azhar Mansor mengelilingi dunia pada 1999, tiada rakyat Malaysia yang mengelilingi dunia lagi.
“Insya-Allah, kami akan cuba mencipta rekod baharu dunia dalam kategori ‘motorized vessel’. Doakan kami berjaya,” ujarnya.
Azhar boleh dihubungi di talian 011-1116 9158 dan 016-629 3742 (WhatsApp) atau emel [email protected].
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

