
Salam Sabtu dan Salam Ramadan buat rakan-rakan pembaca Sis yang berpuasa. Ketika artikel Sis ini disiarkan, kita sudah pun berpuasa selama seminggu. Masa berjalan dengan cepat tetapi manusia bergerak dengan perlahan.. sebab tenaga tak ada.
Jadi untuk bulan yang baharu ini – bulan di langit dan bulan April – Sis nak berkongsi dengan korang bagaimana kita boleh memulakan fasa baharu untuk diri kita. Korang mesti dah tahu yang Sis suka berbincang tentang kehidupan dan menyentuh isu diri kita, jadi Sis nak beritahu macam mana kita boleh pulihkan diri sepanjang Ramadan ini.
“Putuskan hubungan” dengan teknologi
Bagi sesetengah orang, ia susah berpisah dengan teknologi macam fon atau laptop dalam kehidupan seharian sebab pekerjaan sekarang memerlukan kita untuk ada hubungan simbiotik dengan teknologi.
Tetapi, Sis rasa nak dekat buka puasa, takkanlah rakan sekerja korang tak faham yang kita nak masak, nak bersiap sedia sebelum masuk waktu Maghrib? Jadi kalau korang tak boleh nak elak pakai gadget masa bekerja, cuba buat begitu masa dah pulang ke rumah.
Sis perasan yang penggunaan gadget ni bukan sahaja sebab kita pakai nak buat kerja, tetapi juga sebab dah jadi tabiat. Kadang-kadang fon tak bunyi pun kita secara automatik skrol fon padahal tak ada apa nak buat pun.
Dalam pendapat Sis, ‘unplug’ daripada teknologi ini merupakan satu perbuatan yang boleh seimbangkan balik ‘ekosistem’ minda korang sebab untuk satu tempoh, korang bebas daripada benda yang tak hidup dan fokus kepada benda yang jadi di sekeliling korang.
Mungkin pada Ramadan ini, korang sebaik-baiknya boleh cuba kurangkan peninggalan tapak kaki korang dalam media sosial. Tapi tak salah kalau nak share benda yang elok-elok, hanya cuba kurangkan penggunaan untuk benda-benda yang tak sepatutnya.
Dah sebulan Sis cuba ‘unplug’ masa hujung minggu dan jujur Sis kata, otak Sis lebih tersusun daripada sebelum ini. Untuk orang lain mungkin kesan dia berbeza, tapi untuk orang yang terlampau banyak berfikir macam Sis, ia dah jadi satu ubat penenang.
Lagipun tak salah untuk kita tak muncul kat mana-mana secara Online. Setakat sebulan dalam setahun, tak ada siapa yang akan perasan pun. Kalau ada orang perasan pun, mesti lah dorang faham. Kita ini dah lah berpuasa, tenaga terhad. Daripada bazir berfikir tentang apa yang orang kata dalam media sosial, baik kita gunakan tenaga itu untuk buat kerja yang berfaedah sikit.
Pulihkan badan pada bulan Ramadan
Di mana-mana sahaja Sis tengok, mesti ramai yang kata kita kena gunakan bulan Ramadan untuk ‘reset’ organ-organ dalam badan kita ini sebab dah setahun tak jaga pemakanan. Tapi Sis rasa, masa bulan Ramadan lah ramai makan benda pelik-pelik sebab kita teringin nak makan macam-macam sebab kita lapar.
Sis tak tahu lah korang semua ini macam mana tapi, kalau Sis tengah lapar, Sis nak makan benda tak sihat macam aiskrim, kuih-kuih yang disumbat gula merah yang berlimpah-limpah tapi pada masa yang sama, Sis inginkan makanan yang betul-betul boleh dikategorikan sebagai.. makanan.
Sejujurnya, Sis tak kategorikan mi segera atau fast food sebagai makanan sebab ye lah, bendanya tak sihat pun dan makanan macam ini lah yang kerap kita semua makan sebelum bulan puasa. Tetapi disebabkan kita lapar, kita mesti nak makanan seperti lauk-lauk, ulam-ulam, nasi – makanan sebenar..
Dalam bulan puasa ini, pemakanan kita boleh tolong pulihkan semula badan kita buat persediaan sehingga lah hujung tahun. Sekurang-kurangnya, kita ada masa sebulan untuk sihatkan badan.
Nikmati benda-benda kecil yang hanya wujud pada Ramadan
Bila kita dah mulakan tabiat ‘unplug’, kita boleh mula menikmati benda-benda yang membuatkan Ramadan ini bulan yang istimewa sebab kita tak ada kecenderungan untuk menggunakan fon kita.
Daripada tenung skrin fon korang yang bercahaya tu, korang dapat tenung cahaya bulan yang hanya boleh dilihat sekilas ditepi awan. Korang boleh melihat pak cik mak cik bersama anak-anak yang berjalan kaki pulang dari masjid selepas tarawih, kedai-kedai makan penuh dengan manusia yang berbaju sembahyang dan telekung bermacam-macam corak dan warna.
Makanan ketika iftar juga berasa lebih sedap daripada biasa, air yang ditelan terasa lebih segar daripada dulu, padahal air sarsi je pun..
Ketika bulan puasa lah, semua orang duduk lagi lama di meja makan, berdialog tentang hari masing-masing. Semua boleh bergelak ketawa, bersenyum sebab perut sudah kenyang dan tenaga sudah pun Kembali.
Ramadan ini bulan yang berbeza daripada yang lain – berbeza daripada bulan Shawal. Ia bulan yang dunia ini seolah-olah bergerak dengan perlahan, macam kereta api di atas laut yang pemandangannya boleh dinikmati dengan lebih lama. Pada fasa bulan baharu, dunia pun seolah-olah baharu.
Salam Ramadan semua.
- Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM

