Gaji minimum bukan ukuran kakitangan awam tidak terjebak rasuah

Dari Penulis

BENARKAH jika kakitangan awam memperoleh gaji minimum RM1,800 sebulan mereka akan terhindar daripada terjebak ke dalam kancah rasuah?

Ini yang cuba digambarkan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin, apabila beliau baru-baru ini meminta kerajaan menguatkuasakan segera gaji minimum RM1,800. Alasannya untuk mengekang gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Sudah biasa untuk Cuepacs meminta kenaikan gaji. Jika tidak Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat bersuara, setiausaha agung pula bersuara. Silih berganti. Tidak mengapa sekadar bersuara meminta. Keputusan akhir di tangan kerajaan.

Namun kali ini penekanannya ialah untuk membendung rasuah dengan cara menaikkan gaji minimum. Menurut Abdul Rahman, Cuepacs telah pun mengemukakan cadangan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,800 sebulan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 16 Februari lalu.

Dalam memorandum cadangan itu, Cuepacs juga meminta dibuat semakan semula gaji penjawat awam antara tujuh hingga 30 peratus. Cadangan itu adalah sama seperti kenaikan yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan pada 2012.

Semakan juga diminta bagi beberapa elaun seperti perumahan dan sara hidup. Langkah ini dianggap perlu kerana kali terakhir ia dilakukan 10 tahun lalu. Justeru sudah sampai masa dikaji semula.

BERITA BERKAITAN Mekanisme, pelaksanaan gaji minimum diumum tidak lama lagi

Tentu sahaja Cuepacs berharap cdangan kenaikan gaji minimum, semakan gaji dan elaun ini akan diluluskan. Pastinya kerajaan juga akan membuat pertimbangan wajar berdasar kemampuan kewangan.

Meminta kenaikan gaji atau gaji minimum mungkin bukan isu. Tetapi untuk mewajarkan permohonan kenaikan gaji minimum dengan mengaitkannya dengan mengekang rasuah dalam kalangan kakitangan awam adalah tidak tepat.

Cuepacs seolah-olah berpandangan gaji RM1,800 adalah penanda aras menghindar rasuah yang kerap berlaku dalam pelbagai jabatan kerajaan. Jika gaji minimum RM1,800 dilaksana, tiada lagi rasuah, atau rasuah dapat dibendung.

Sedarkah bahawa ramai kakitangan awam yang berjawatan tinggi dengan gaji lebih besar pun terlibat rasuah. Malah kelompok ini lebih ramai berbanding dengan golongan bawahan yang menerima gaji jauh lebih kecil. Ini terbukti daripada tangkapan dan pertuduhan di mahkamah melibatkan ‘orang besar’, termasuk pemegang jawatan Jusa.

Mereka ini dianggap sebagai jerung, dan jerung selalunya makan besar. Malah kerap terdengar rungutan jerung terlepas, hanya ikan bilis masuk jaring. Namun syukurlah kebelakangan ini jerung pun ramai masuk jaring. Gigi sudah tidak cukup kuat untuk menggit jaring yang kini lebih kukuh. Dalam aspek ini, usaha kerajaan dipuji.

Namun jelas rasuah tidak ada batas jawatan atau gaji. Antara mahu dengan tidak mahu. Jika hati ingin melakukan perbuatan keji itu lantaran gelap mata dengan wang ringgit, ia akan berlaku. Jawatan dan gaji bukan penentu mutlak.

Jika seseorang berjawatan rendah dan gaji kecil tetapi jiwanya murni tidak mahu terlibat dengan rasuah, dia tidak akan terlibat. Dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah dan tidak mahu terpalit rasuah yang boleh merosakkan diri, keluarga dan negara.

Justeru tidak tepat andaian Cuepacs bahawa gaji rendah menyebabkan ramai kakitangan awam terlibat rasuah. Ini boleh menimbulkan salah tafsir seolah-olah hanya kerana mereka berpendapatan rendah, mereka sentiasa terdedah kepada rasuah. Malah ini boleh dianggap penghinaan.

Hati nurani sendiri yang menjadi penentu. Di luar sana masih ramai yang tidak tunduk kepada godaan memperoleh duit sampingan secara haram selain gaji hakiki.

Cuba renungi kenapa yang berjawatan besar dan bergaji tinggi masih terlibat dengan rasuah? Ini kerana manusia selalu bersifat tamak dan mahu lebih. Walau pun berjawatan besar, gaji berganda-ganda daripada penerima gaji minimum, masih belum mencukupi.

Apatah lagi dengan jawatan dan kuasa di dalam tangan, mereka berada pada kedudukan lebih mudah terjebak dengan rasuah. Ini kerana mereka berkuasa membuat keputusan dan sudah tentu pemberi rasuah akan mencari mereka, bukan pekerja bawahan bergaji rendah.

Usaha Cuepacs yang mahu mengekang rasuah dalam kalangan kakitangan wajar dipuji. Cuma jangan ukur dengan wang ringgit atau gaji minimum. Sebaliknya sentiasa timbulkan keinsafan dalam kalangan mereka bukan sahaja untuk berkhidmat dengan tekun dan komited, tetapi jujur dan amanah serta elak rasuah.

Tanamkan dalam jiwa mereka rasuah adalah dosa besar serta perosak kepada insitusi keluarga dan masyarakat. Setiap sen duit rasuah yang dimakan bersama keluarga akan menjadi darah daging. Mahukah anggota badan terbentuk hasil daripada duit haram?

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This