SELEPAS lebih dua dekad sejak pertemuan pertama kali, pasangan selebriti Jennifer Lopez dan Ben Affleck sekali lagi mengikat tali pertunangan.
Jennifer atau lebih dikenali JLo mengumumkan berita gembira itu kepada peminatnya menerusi laman web rasminya, OnTheJLo.
Perkongsian itu dibuat beberapa hari selepas JLo dilaporkan memakai cincin pertunangan awal minggu ini.
Mesej tersebut mengandungi klip video yang menyaksika penyanyi itu memakai sebentuk cincin berlian berwarna hijau sebagai simbolik pertunangan dengan Ben.
Pasangan yang dikenali sebagai ‘Bennifer’ itu sebelum ini dilihat kembali menghidupkan semula hubungan cinta sejak tahun lalu.
Bintang terkemuka Hollywoodd itu pernah digandingkan buat pertama kalinya menerusi filem Gigli pada 2001.
Bermula dari situlah, mereka menjadi tumpuan ramai dan pada November 2002, pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka.
Beberapa hari sebelum majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung, mereka menangguhkan acara terbabit sebelum mengesahkan ikatan pertunangan mereka sudah terlerai pada Januari 2004.
Untuk rekod, JLo pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Marc Anthony pada 2004 dan bercerai 10 tahun kemudian.
Hasil perkahwinan dengan Marc, mereka dikurniakan anak kembar iaitu Emme dan Max yang kini berusia 14 tahun.
Sebelum itu JLo mendirikan rumah tangga dengan Ceris Judd pada 2001 dan hanya sempat mengecap kebahagiaan selama dua tahun.
JLo juga pernah berkahwin dengan Ojani Noa pada 1997 sebelum rasmi bercerai pada 1998.
Manakala Ben pernah berkahwin dengan aktres Jennifer Garner dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Violet, 16, Seraphina, 13, dan Samuel, 10. Mereka bercerai pada 2018 selepas 13 tahun melayari bahtera perkahwinan.