apa lebih solat dengan puasa

24 jam yang diperuntukkan pada kita untuk bekerja sebanyak lima kali, adakalanya tidak dapat dilaksanakan dengan sesempurna yang disyariatkan. 30 hari yang diberikan untuk berpuasa pula, sedikit sebanyak mempunyai cacat dan celanya yang tidak terjangka.

Namun itu semua tidak membuatkan majikan kita menjadi murka. Inilah rukhsah atau kelonggaran yang Allah berikan kepada hambanya, dalam mengerjakan sesuatu ibadat atau sebahagian daripada pekerjaan ibadat.

Melalui sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ini, terserlah sifat-sifat Allah sebagai majikan terhadap pekerja-pekerjanya, yang ikhlas mengerjakan setiap suruhan Nya. Walaubagaimanapun, itu bukanlah tiket untuk kita bersikap leka, atau buat-buat lupa dengan amanah yang dibebankan pada bahu kita. Tetapi ia sebagai satu bentuk penghargaan, serta kepercayaan yang harus kita pikul, bagi meningkatkan ibadat dalam setiap masa.

Menerusi konsep beribadat, adakalanya kita merasakan setiap pekerjaan ibadat itu berbeza perlaksanaannya, maka berbeza pula bentuk hukumannya sekalipun tertinggal atau sengaja ditinggalkan.

Justeru itu kita mengambil sikap sambil lewa dalam melaksanakan sesuatu ibadat. Contohnya apabila terlupa ketika berpuasa, maka puasanya boleh diteruskan tanpa perlu diganti. Akan tetapi sekiranya terlupa raka’at dalam solat, ia perlu pula diganti. Di sini wujud perbezaan hukuman antara sesuatu ibadat, terutama yang berkait dengan rukun Islam.

Seolahnya solat adalah lebih utama berbanding puasa. Mungkin ada benarnya juga. Cuba kita lihat kedudukan solat dalam rukun Islam, bukankah ia di tempat kedua dan puasa ketiga. Maka itu wujud perbezaan terhadap hukuman yang dikenakan.

Membicarakan tentang permasalahan ini secara mendalam, menurut Mohd Syahril b. Abd. Samat, Imam Masjid Jamek al-Khadijiah, berdasarkan konteks beribadat, tiada istilah perbezaan, sekalipun berbeza kedudukan dalam rukun Islam.

Dalam permasalahan ini, seeloknya kita lihat dahulu sejarah bagaimana solat dan puasa disyariatkan kepada orang-orang Islam. Satu-satunya wahyu yang Baginda s.a.w. dapat secara terus dari Allah adalah perintah solat melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Dalam peristiwa ini, Baginda telah dibawa ke langit yang ke tujuh untuk bertemu Allah, dan menerima secara langsung perintah solat. Hal ini kerana, solat adalah satu amanah yang diberikan kepada nabi s.a.w. dan merupakan tanggungjawab yang sangat besar untuk dilaksanakan oleh umatnya.

Manakala puasa pula adalah wahyu yang disampaikan melalui malaikat Jibril, iaitu surah al-Baqarah: 183,

Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Kemudian disambung lagi dari ayat 185, “beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil).”

Pensyariatan ini juga rentetan dari kisah di mana orang-orang Yahudi berpuasa pada setiap 10 Muharam.

Menurutnya lagi, puasa adalah pentas untuk mentarbiah diri selama sebulan. Di sini hikmahnya begitu besar. Ia sebagai wadah mentaqarrub diri kepada Allah. Bahkan bulan ini juga mempunyai banyak kelebihannya tersendiri, kerana kita mampu melaksanakan ibadah dengan lebih fokus.

Lihat sahaja, dalam bulan ini masyarakat kita betul-betul menjaga solat, waima solat tarawikh sekalipun. Seolahnya ia menjadi satu bentuk tarikan untuk masyarakat berlumba-lumba meningkatkan ibadat.

Berbalik kepada perbincangan kita berkaitan dengan perbezaan ibadat antara solat dan puasa. Secara dasarnya, kedua-duanya perlu diganti, tetapi dari sudut ini terdapat pecahan-pecahannya yang tersendiri. Sebagaimana solat, jika kita terlupa untuk membaca doa qunut, kita perlu gantikan dengan melakukan sujud sahwi.

Begitu juga jika kita terlupa raka’at dalam solat, jika teringat waima selepas memberi salam sekalipun, kita perlu bangun dan terus menggantikannya. Itu pun selagimana tidak melakukan perkara yang membatalkan solat.

Walaupun terdapat beberapa perbezaan pendapat oleh mazhab-mazhab yang ada, namun ia bukanlah satu masalah yang besar. Itu hanya berkisar tentang cabangnya sahaja, kerana setiap ulama mempunyai prinsip dan pandangannya tersendiri, dalam mentakwilkan sesuatu masalah atau hukum.

Begitu juga dalam pergantian solat dan puasa. Keduanya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Mungkin kita lihat dari sudut ibadat ini ia perlu diganti, dan dari sudut ibadat yang lain pula tidak perlu diganti. Tetapi jika kita lihat dalam konteks yang lebih luas, sebenarnya ia sama sahaja.

Situasinya begini, jika kita terlupa dan makan sesuatu ketika puasa, ia dimaafkan dan boleh terus berpuasa. Tetapi seandainya kita terlupa untuk berniat puasa di malam hari, maka tiada puasa baginya dan diwajibkan pula menggantikan puasa tersebut.

Bahkan dalam puasa juga terdapat beberapa perkara yang jika dilakukan, mahu atau tidak ia perlu membayar kafarah (denda), atau kembali menggantikan puasa yang telah ditinggalkan. Sekalipun seseorang tersebut telah meninggal dunia, tetap wajib bagi waris membayar hutang puasa si mati.

Menurut Ibnu Umar, “Barangsiapa yang meninggal sementara dia punya tanggungan puasa sebulan, maka hendaknya diberikan makanan atas namanya kepada satu orang miskin untuk setiap harinya.” (HR Ibnu Majah)

Berbeza pula dengan solat, walaupun kita terlupa sehingga meninggalkan rukun solat dan perlu diganti, tetapi tiada pula denda yang dikenakan. Bahkan bagi yang telah meninggal dunia, waris tidak tertakluk untuk membayar kifarah atau menggantikan solat si mati.

Bermakna di sini ada pro dan kontradiknya yang tersendiri. Tidak timbul ibadat ini lebih baik, manakala ibadat yang lain kurang baik. Semuanya mempunyai kelebihan yang tertentu sekalipun terlupa atau tidak sengaja, katanya.

Jadi dapat dilihat, walaupun sedang berpuasa, andainya terlupa, ia tidak perlu diganti. Tetapi dalam situasi yang lain, mahu atau tidak ia perlu digantikan. Sama juga dengan solat, jika terlupa perlu diganti namun dalam situasi yang lain, ia tidak ada hukumannya tersendiri.

Tambahnya lagi, perbandingan lain boleh kita lihat antara kedua-dua ibadah ini ialah, sekiranya sedang berpuasa dan sengaja membatalkannya seperti suami isteri yang bersetubuh di siang hari, maka diwajibkan kafarah al-Uzma iaitu membebaskan hamba yang beriman. Jika tidak didapati, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Dan jika tidak berkemampuan, hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.

Tiada Denda

Berbeza dengan solat, sekiranya sengaja dibatalkan, tidak ada denda yang dikenakan. Hanya cukup dengan menggantikannya sahaja. Jadi dalam hal ini, sekalipun ibadat solat dikedudukan yang kedua berbanding puasa, namun Allah itu tetap bersifat Maha Adil kepada hamba Nya. Ini juga termasuk dalam perkara rukhsah, iaitu satu bentuk keringanan yang Allah berikan.

Begitu juga sekiranya kita uzur, sakit dan tidak larat untuk mengerjakan solat. Solat tetap wajib didirikan, namun rukhsah yang Allah berikan hanya sekadar mengikut kemampuan kita sahaja. Tidak mampu berdiri, kita solat dengan duduk. Tidak mampu untuk duduk kita berbaring. Sudah berbaring juga masih tidak mampu, maka cukup dengan menggunakan isyarat bagi rukun solat yang tidak mampu dilakukan dengan cara biasa. 

Sebaliknya puasa pula, keringanan yang Allah berikan ialah tidak perlu berpuasa, tetapi apa yang perlu hendaklah dia menggantikan puasa tersebut sebanyak mana hari yang ditinggalkan. Dalam surah al-Baqarah: 184,

Barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan, maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan wajib juga bagi orang yang (tidak terdaya untuk berpuasa) membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin.”    

Tuntasnya lagi, dalam satu riwayat, Aisyah r.ha. pernah menyatakan bahawa,

Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w. mengqada’ puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada’ solat.” (HR Bukhari)

Jelas di sini bahawa, hadis di atas merujuk kepada keadaan wanita yang didatangi haid. Mereka tidak perlu ganti solat tetapi perlu pula ganti puasa.

Justeru itu tiada istilah puasa di tempat ketiga, maka ia bersifat ringan. Manakala solat tempat kedua ia menjadi satu ibadat yang berat. Tidak sama sekali, kerana setiap ibadat yang diwajibkan kepada kita sememangnya mengandungi hikmahnya yang tersendiri.

Allah meringan dari sudut ini, tetapi menyeimbangkannya dari sudut yang lain pula. Begitu sebaliknya. Ada perkara yang diringankan dalam solat, ada juga yang diringankan dalam puasa. Dan ada yang diberatkan dalam solat, serta ada juga yang diberatkan dalam puasa. Ini semua menunjukkan bahawa Allah bersifat adil kepada setiap perkara. Bahkan yang paling utama Allah memahami kemampuan serta keterbatasan kita sebagai manusia biasa. Wallahu a’lam

___________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare