Satu perasaan yang cukup sukar digambarkan setiap kali tibanya Ramadan. Bagaimana umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba mengejar ganjaran pahala, malah ada juga yang membuat senarai ibadah yang ingin dilakukan sepanjang bulan puasa.

Namun, pahala merupakan rahsia Allah.

Janji Allah dalam menyempurnakan pahala bagi mereka yang tunduk dan patuh pada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya ada disebutkan di dalam Surah Al-Imran ayat 57 yang bermaksud,

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”

Menerusi perkongsian Wan Fikriah, terkadang perasaannya bercampur baur apabila tidak dapat menunaikan ibadah sesempurna insan lain. Namun dia sedar kini ladang pahalanya sudah berbeza.

“Ada satu benda je yang tak best pasal bulan Ramadan ni,

Kata ustaz wadi anuar,

Ada golongan yang dicelakan Allah. Golongan ini adalah golongan yang keluar dari bulan Ramadan tapi tak membawa apa apa keampunan dari Allah.

Bila nampak orang share checklist Ramadhan, bercampur baur perasaan saya.

Khatam Quran, tarawih di masjid, dan banyak lagi lah amalan Ramadan lain.

Rasa seronoknya diorang yang boleh buat semua tu.

Dan rasa malunya nak mengaku ibadah saya takkan boleh buat sebanyak mereka. Yang ada nikmat masa dan ruang.

Mungkin jugak rasa dengki sedikit ada.

Dah tak sama masa dan nikmatnya sewaktu bujang dulu.

Bila terlambat bangun untuk sahur, terpaksa tinggalkan solat Tahajud untuk ke dapur. Supaya isi rumah masih sempat ambil keberkatan sahur.

Tak sempat pun habiskan solat Isya’ anak dah merengek mengantuk. Minta disusukan. Mungkin jugak sang ibu Ini terlelap bersama sebab kepenatan mengurus rumah dan menyusu seharian. Tarawih tertangguh lagi.

Ada juga mak mak yang seawal jam 6 pagi keluar rumah . Terkejar kejar dengan jammed di jalan. Sudahlah di tempat kerja sibuk. Masih terkejar balik rumah untuk sambung kesibukkan yang lain pula. Belum pun berbuka badan dah terasa sangat “flatted”

Itu belum lagi cerita bab penatnya mengurus anak anak dan hal hal urusan rumah tangga yang tak pernah habis.

Ia buatkan saya sedar Ramadan kali ini bukanlah bulan untuk menanda checklist.

Bukan berapa helai Quran yang telah dibaca, atau berapa rakaat jumlah solat, atau berapa itu dan berapa ini.

Ramadan adalah bulan untuk mencari keampunan dengan sedaya kudrat yang kita ada.

Moga pada setiap seka peluh dan air tangan menyediakan juadah berbuka, Allah beri keampunan.

Moga hanya pada zikir semasa mengurus rumah ,Allah beri rahmat.

Moga dengan setiap titik susu dan lelahnya menyusu dan mangandungkan, Allah catatkan kebaikan.

Moga pada tarawih yang terganggu dengan tangis dan gaduh anak, Allah masih menuliskan keampunan.

Moga pada helaian Al-Quran yang belum sempat dihabiskan, Allah masih juga mahu nilai dengan pahala.

Ramadan adalah bulan yang Allah bukakan pintu rahmat dan keampunan seluas luasnya bagi mereka yang mencari.

Asalkan kita buat dengan penuh kesungguhan dan mengharapkan Allah, Al Baseer yang menilai dan memberi ganjaran.

Maka ia akan dijumpai oleh kita semua, walaupun dengan cara berbeza beza.

Moga nanti kita keluar Ramadan membawa rahmat dan keampunan.

Dari Tuhan.”

Sumber : Wan Fikriah