HAMPIR tiga tahun berkahwin, pelakon Nelydia Senrose dan suaminya, Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid akui tidak dapat lari dengan pertanyaan soal cahaya mata.
Malah, baru-baru ini Nelydia didakwa sedang hamil anak pertama, namun dia menafikan khabar angin berkenaan.
“Allah, saya aminkan saya khabar tersebut. Tapi belum ada berita ke arah itu (hamil). Insya-Allah, doakan,” katanya kepada URTV.
Nelydia atau Nik Zaris Nelydia,28, berkata demikian pada sidang media drama Khilaf Asmar yang diadakan secara virtual, baru-baru ini.
Sebelum ini, sudah beberapa kali Nelydia dikatakan sudah berbadan dua dan ramai yang mendoakan yang baik-baik terhadap dirinya.
Malah, khabar kehamilan itu turut dikaitkan dengan imej terkininya yang sering tampil dengan pakaian longgar dan berhijab.
Mengulas lanjut tentang perubahannya itu, Nelydia tidak mahu perkara tersebut sebagai topik utama memandangkan dia masih dalam proses untuk belajar memakai tudung seperti muslimah lain.
“Sebenarnya saya tak pernah beri sebarang kenyataan sebab saya belum bersedia lagi,” ujarnya.
Tambah Nelydia lagi, meskipun sudah perlahan-lahan menukar penampilan, Nelydia tetap terbuka untuk menerima tawaran lakonan tanpa menetapkan syarat.
“Sebelum saya bertudung atau sudah bertudung ke, saya sentiasa terbuka untuk sesuatu yang baharu.
“Jadi, saya tak letak sebarang had (tawaran lakonan) selagi tidak melanggar atau keterlaluan.
“Saya mahu terus mencuba apa sahaja watak yang belum dicuba,” tegasnya.
Sementara itu, seiring peningkatan usia, Nelydia mahu mempelbagaikan watak agar mampu memberi kesan kepada penonton.
“Apabila usia semakin meningkat, kalau boleh saya tidak mahu hanya melakonkan watak sama sahaja.
“Bukan bermaksud terlalu memilih, cuma jika menerima sesuatu tawaran itu saya akan teliti dahulu agar watak yang diberikan boleh memberi impak kepada penonton,” ujarnya.
Selain Nelydia, drama Khilaf Asmara turut dibintangi pelakon Fasha Sandha, Fattah Amin dan Fahrin Ahmad.
Drama arahan Uchee Fukada itu mula bersiaran pada 18 April ini di slot Samarinda TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

