Imran Khan disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri Pakistan setelah tewas undi tidak percaya di Parlimen baru-baru ini.

TANGGAL 10 April merupakan detik suram bagi Imran Khan apabila beliau disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri Pakistan setelah tewas undi tidak percaya di Parlimen.

Imran, 69, adalah Perdana Menteri pertama Pakistan disingkirkan menerusi undian tidak percaya di Parlimen, belum sempat penggalnya tamat tahun hadapan setelah pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 2018.

Beliau melakukan segalanya untuk kekal berkuasa, termasuk membubarkan Parlimen bagi melaksanakan pilihan raya setelah partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) memenangi pilihan raya.

Namun Mahkamah Agung berpandangan, semua tindakannya adalah tidak sah dan mengarahkan Parlimen bersidang serta membuat undian sekali gus membawa kepada pengakhiran kemelut politik selama beberapa minggu negara itu.

Lebih perit bagi Imran, pengaruhnya sebagai bintang kriket Pakistan bagai tiada erti apabila berdepan pengkhianatan dari sekutunya seperti parti MQM-P yang bertindak keluar dari gabungan kerajaan.

Persefahaman yang ditandatangani dengan sekurang-kurangnya lima sekutu parti gabungan sudah tidak terlaksana lagi.

Jelas, bergantung harap kepada parti politik lain tidak menjamin kelangsungan pentadbiran sesuatu kerajaan yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

Memburukkan keadaan bagi Imran, tentera Pakistan yang disifatkan menjadi penentu survival seseorang Perdana Menteri negara itu tidak memihak kepada beliau lagi.

Ini setelah banyak pihak melihat kemenangan Imran pada pilihan raya umum 2018 sebelum ini adalah hasil sokongan tentera.

Namun kenyataan tentera yang menyanggah hujah hero kriket Pakistan itu bahawa pemecatannya ada kaitan campur tangan Amerika Syarikat (AS) sungguh pedih untuk ditelan Imran.

Jelas, sejak mengambil alih teraju negara, Imran bergelut untuk menstabilkan ekonomi yang berdepan isu inflasi, penyusutan nilai rupee dan pengembangan defisit hasil negara.

Malah, janji Imran untuk memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa tidak kesampaian apatah lagi beliau dianggap sebagai sinar baharu buat Pakistan gagal melakukan perubahan yang dijanjikan.

Ia ibarat janji-janji kosong sekadar memenangi hati pengundi sehingga membuatkan rakyat kini beralih arah daripadanya.

Selain itu, kegagalan Imran menepis pengaruh isterinya dalam pentadbiran kerajaan dan perjalanan politik bekas Perdana Menteri itu memburukkan lagi imej beliau.

Bushra Bibi yang dianggap sebagai pembimbing kerohanian Imran menjadi bahan gosip besar dalam kalangan parti pembangkang yang mendakwa wanita itu mempunyai kuasa mistik dan dianggap sebagai ahli sufi bertaraf pir dan murshid.

Namun, walaupun tersingkir, Imran dilihat masih belum hilang pengaruhnya dalam kalangan rakyat Pakistan yang berjumlah kira-kira 220 juta orang.

Ini dapat dilihat pada malam setelah beliau disingkirkan apabila puluhan ribu orang ramai keluar secara spontan menyokong Imran sebagai Perdana Menteri.

Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan protes besar-besaran
diadakan di bandar utama termasuk Islamabad, Lahore, Karachi, Peshawar, Faisalabad, Quetta dan Rawalpindi.

Apa yang pasti, parti Imran yang diasaskannya pada 1996 berpeluang kembali semula membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang namun legenda kriket itu perlu memperbaiki kelemahannya.