Dr. Lim Swee Tin dan buku EXIT : WUJUD TAPI TIADA

Oleh : Lim Swee Tin

MEMBACA EXIT Wujud Tapi Tiada, Vol. 1: Membuka Pintu Alam karya mutakhir Zulkarnain Zakaria (2022) segera menangkap indera kita bahawa ia berkaitan dengan cerita-cerita yang menyeramkan. Barangkali oleh sudah terbiasa kita dengan sosok pengarang bekas editor majalah Mastika ini. Malahan banyak juga ditemukan karya beliau khususnya di Mingguan Malaysia perihal pelbagai penampakan, jelmaan, gambaran-gambaran yang menakutkan, bunyi yang meremang selain wajah-wajah yang serba menggerunkan.

EXIT himpunan cerita seram Zulkarnain Zakaria yang serba baru.  Sesiapa sahaja yang mengikuti dengan rapat penulisan-penulisan beliau sebelum ini tahu bahawa pengarang ini memiliki sangat banyak koleksi cerita genre ini pasti menyedari muatan cerita serta lenggang-lenggok penulisannya yang licik.  Ada yang diceritakan orang kepadanya, ada yang didengar dan tidak kurang yang dialami sendiri oleh pengarang.  Setiapnya dikumpul dan lebih istimewa dilengkapkan dengan teori dan rumusan. Ertinya pengarang bukan hanya bercerita akan tetapi turut bertanggungjawab mempertahankan ‘kebenaran’ apa yang diceritakan menggunakan teori dan padanan dengan penyelidikan-penyelidikan lepas.

DI SINI TERLETAKNYA keistimewaan Zulkarnain Zakaria saya kira. Dengan perkataan yang lebih mudah, EXIT bukan buku remeh atau murahan, menceritakan hantu yang mencangkung di tingkap, pontianak yang memekik-mekik tanpa sebab atau drakula yang menggonggong tengkuk untuk menghisap darah entah hujung entah pangkalnya. Pengarang mengutip pengalaman benar individu dan masyarakat sekeliling. Kadang-kadang ada persamaan kejadian yang berlaku. Ia menarik, dan ada kajian telah dilakukan apa sebenarnya yang berlaku? Pengarang menghuraikannya, serta memberikan keyakinan  pula kepada kita, sekurang-kurang supaya kita ‘percaya’.

Adakah anda ingin mempercayainya? Bacalah terlebih dahulu EXIT Wujud Tapi Tiada. Kumpulan ini mengisikan sebanyak 31 bab atau bahagian. Akan tetapi, ia tidak terbatas kepada hanya satu cerita dalam satu-satu bab atau bahagian itu.  Misalnya, dalam bab atau bahagian ‘Muka Berkecai’, pengarang mengemukakan kisah isteri Zali yang melihat perempuan bertelekung putih  sewaktu bermalam di resort, kisah Bennie dikejutkan dengan kemunculan wanita yang sebelah mukanya hancur berdarah di hotel penginapan di Bosnia. Ini pengalaman pengarang pada tahun 2005. Manakala, pada tahun 2013 pula pengarang bersama sahabatnya Ab. Rahman ke Amerika Selatan. Selain pintu yang terkunci ada pula kedengaran bunyi orang berjalan atau berlari di kaki lima termasuk mengetuk pintu bilik. Siapa wanita bertelekung, siapa wanita muka sebelah hancur dan berdarah, dan siapakah yang berjalan serta berlari di kaki lima hotel? Semuanya memunculkan pertanyaan yang sukar dijawab. Pengarang merumuskan: Pintu alam sememangnya aneh. Sukar untuk kita fahami.

Jika satu-satu bab atau bahagian mengisikan tiga atau empat ataupun dua kisah, bayangkan seluruh EXIT menawarkan apa kepada pembaca? Penulisan Zulkarnain Zakaria seringkalinya penuh kejutan. Ada yang berdasarkan pembacaan-pembacaan lalu ia boleh diandaikan, akan tetapi banyak yang merupakan sesuatu yang sukar dijangkakan. Pengarang bijak bermain dengan bahasa, dengan frasa dan kosa kata yang mendorong kita masuk ke dalam ceritanya. Frasa ‘berdasarkan subjek yang dapat dilihat di depan mata’, ‘Di hujung pancaran lampu kereta kelihatan ada seseorang yang sedang berdiri…’, atau sahaja ayat: Kali ini giliran jururawat tersebut pula yang terdiam. Ini kerana, dia memlihat sendiri Rasti mencuci lantai bilik mayat dan tempat pembedahan, sudah cukup mengundang rasa cemas.

Banyak kisah baik yang terjadi di rumah tumpangan, di resort, chalet dan hotel-hotel; dalam dan luar negeri. Kisah kemunculan wajah misteri, sosok aneh, bunyi yang kedengaran tiba-tiba menghilang, termasuk kereta yang dipintas didapati tiada berpemandu, menziarahi sababat yang telah pun meninggal beberapa tahun dahulu, kejadian-kejadian di luar jangka, melihat atau ternampak objek manusia di tempat tidak sewajarnya, laluan dan bilik yang diganggui, orang tua, pesakit, wajah-wajah cedera dan berbagai-bagai lagi. Kisah berlaku di mana-mana, bahkan di seluruh dunia. Misteri hantu tindih contohnya, menurut pengarang turut berlaku dalam kalangan masyarakat di Thailand (phi am), Mexico (se me subio el muerto), Jepun (kanashibari), Korea (gawi nulim), Mongolia (khar darakh), Vietnam (made), Filipina (bangungut), dan lain-lain (hlm. 136).

Bab atau bahagian berjudul MH17: Intuisi pastinya antara yang memikat pembacaan, Siapa Roslina?, Nurul Zuraina, 11 Dimensi dan banyak lagi. Ini kisah-kisah yang menghadapkan kita dengan persoalan, akan tetapi persoalan yang tidak terjawabkan. Pengarang meyakinkan kita kemudiannya. Perihal jawapan yang rumit dan sukar, pengarang menjelaskan, antara lain dengan pertanyaan kadang-kadang: Apakah dalam diri kita juga ada pintu yang boleh membawa kita masuk ke alam lain? Atau pintu itu sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita, dan akan terbuka apabila sampai masanya? Atau dengan huraian: Teori paranormal barat pula mengatakan apa yang berlaku adalah angkara poltergeist. Ataupun: Kini terdapat ahli-ahli fizik di barat meyakini bahawa bukan setakat dimensi keempat, sebenarnya di samping alam nyata ini terdapat sekurang-kurangnya 11 lagi dimensi di sekeliling kita.

Selain muatan subjek atau kisah-kisah yang langka atau jarang diketahui, pengarang menunjukkan dia mengalaminya juga sendiri. Akan tetapi, banyak yang disampaikan kepadanya oleh rakan-rakan termasuk kenalan yang pernah diganggu atau terserempak. Pengarang ikut mengutip peristiwa atau kejadian yang dialami di tempat lain oleh individu atau kumpulan lain, yang menunjukkan gejala serupa untuk dianalisis perbezaan atau bentuk fenomenanya. Dengan demikian, tidak timbul pengarang mereka-reka cerita kerana sumbernya begitu luas. Apa yang dialaminya di hotel usang, atau dalam perjalanan pulang melalui Jalan Tun Abdul Razak atau di Cheras tetap mendebarkan. Pengarang mencatat nama sumber untuk menunjukkan mereka memang wujud, bahkan tahun termasuk masa dan di tempat yang diperikan dengan rapi kecuali perlu disenyapkan atas sebab-sebab kerahsiaan.

Zulkarnain Zakaria menunjukkan dia seorang pengkaji juga. Oleh hal yang demikian, buku ini ikut mengisikan banyak maklumat berkaitan fenomena. Dihurai atau turut dibahaskan apa itu intuisi, halusinasi, déjà vu, paranormal, kebolehan psikik untuk pemahaman pembaca. Pengarang menghurai juga tentang phantom hitchiker, time travel, teori multiverse, terperangkap dalam dimensi lain, soul travel, spirit walking, astral projection, poltergeist, dan rapid eye movement atau REM.  Pengarang juga membuktikan dia ‘tukang bari’ (seumpama penglipur lara) yang pintar apabila boleh menarik perhatian pembaca dengan ingin menghabiskan pembacaan demi mengetahui apakah kesudahan. Namun, pengarang bijak pula menjedakannya, melalui pertanyaan: Apa yang terjadi kepada saya ini? Apa yang anehnya cerita saya ini? Kisahnya begini… dan berbagai-bagai lagi. Keupayaan tukang bari boleh memaku perhatian kita dengan kejap selain memperagakan kepetahan dan kelancarannya.

EXIT Wujud Tapi Tiada, Vol. 1: Membuka Pintu Alam  diterbitkan oleh Pumpkin Street Media Solutions, dan disokong oleh PENJANA MyCreatvie. Sekarang sudah mula boleh dibeli melalui pelantar Shoppee, buku ini menjanjikan keseronokan membaca yang mengujakan tatkala orang sekarang banyak bercakap tentang keperitan ekonomi, ketidaktentuan politik semasa negara, dan kerisauan tentang pelbagai perkara selagi pandemik belum pergi jauh dari pesekelilingan kita. Isilah masa dan bersantailah sambil melayani cerita demi cerita, sesekali ada tiba-tiba kedengaran sesuatu kesan bunyi barangkali di belakang anda atau berdekatan jendela, bagus juga ‘menikmati’ suasana sebegini. Mantan Pengarang Kanan majalah Mastika ini menjanjikan ‘penampakan’ yang lain – lorong pemahaman lebih cerah, dan jendela minda yang lebih luas terbuka! Anda bersedia?

Klik pautan ini untuk pembelian EXIT : WUJUD TAPI TIADA di pelantar shopee Pumpkin Street Bookline : https://shopee.com.my/product/123254563/14266884072?smtt=0.123256387-1649908750.9
Klik pautan ini untuk pembelian set 1 + 1 EXIT : Wujud Tapi Tiada dan Cari Aku Di Hujung Nafas, buku pertama Zulkarnain – https://shopee.com.my/product/123254563/17432188650?smtt=0.123256387-1650333089.9

——

NOTA : Dr. Lim Swee Tin merupakan penulis, penyair dan karyawan seni terkenal negara. Beliau penerima S.E.A. Write Award 2000 dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Buku EXIT : Wujud Tapi Tiada (Siri Membuka Pintu Alam, Vol. 1) berharga RM33 senaskhah dan boleh dibeli di pelantar shopee Pumpkin Street Bookline di pautan https://shopee.com.my/product/123254563/14266884072?smtt=0.123256387-1649908750.9 atau shopee.com.my/pumpkinstreet.os atau Tel: 013-6051949.

—————————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam