Pelik! Seorang budak lelaki berbangsa Cina berusia tujuh tahun asyik membelek-belek buku pantun Melayu di tangannya. Lantas sehelai demi sehelai halaman buku itu dibeleknya penuh perasaan ingin tahu.
Kemudi calus mudah meluncur,
Ke barat topan cuaca berpindah;
Berbudi halus sudah termasyhur,
Beradat sopan bahasa indah.
Peliknya, budak Cina itu bukan saja membelek tapi terus membaca bait demi bait pantun yang tertera. Sungguh asyik budak Cina itu membaca. Cantik sungguh bahasanya.
Tanpa disedarinya, budak Cina itu sudah membaca keseluruhan pantun di dalam buku tersebut. Selepas membaca, budak Cina itu termenung. Dalam hatinya merasa ada satu daya tarikan. Budak Cina itu tertarik dengan kehalusan bahasa yang digunakan di dalam pantun.
Keesokan harinya, budak Cina ini masih lagi mencari buku-buku pantun. Peliknya, budak Cina itu masih lagi belum puas. Bahasa-bahasa indah di dalam pantun membuatkan dia berasa sangat takjub dan kagum.
Hairan, budak Cina itu mahu mengenali lebih dalam lagi tentang pantun padahal dia bukan berbangsa Melayu. Keindahan bahasa-bahasa pantun telah meresap ke dalam sanubarinya.
Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan,
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.
Termenung seketika budak Cina ini membaca pantun tersebut. Budak Cina itu memang tidak faham maksud yang tersirat. Lama budak Cina itu berfikir. Budak Cina itu cuba meneka-neka sendiri apa maksud yang cuba disampaikan oleh rangkap pantun berkenaan.
Setelah lama berfikir, akhirnya budak Cina itu menemui jawapannya sendiri. Budak Cina ini bertambah kagum dengan kecantikan bahasa dan juga kebernasan maksud dalam pantun.
Malam itu, budak lelaki Cina yang berasal dari Bachok, Kelantan ini terus berfikir. Dia mencapai sebatang pensel dan sebuah buku. Peliknya, malam itu dia cuba menggubah pantunnya sendiri yang indah dan cantik seperti yang pernah dibacanya.
Sedang berfikir-fikir untuk menyiapkan serangkap pantun, budak Cina itu terdengar bunyi paluan gendang dari jauh. Sayup-sayup suara gendang itu berkumandang.
Budak lelaki Cina itu terus bangkit dan berlari ke arah datang bunyi gendang itu. Sampai di sana, budak Cina itu ternampak ada satu persembahan dikir barat padang.
Budak lelaki Cina itu pun melabuhkan punggungnya di suatu sudut untuk menyaksikan persembahan dikir barat pula.
Jogho bernama Daud Bukit Abal pun naik dan menyanyikan sebuah lagu bertajuk Rumie dan Julie.
Marilah kita imbas kembali,
Kisah cinta Rumie dan Julie;
Mahal nilainya tidak terperi,
Hidup bersama mati pun sekali.
Sungguh asyik dan terpesona budak Cina itu menghayati lenggok bahasa baris-baris pantun yang dinyanyikan oleh Jogho dikir barat itu. Sungguh indah kata-katanya. Setiap ayat yang dilontarkan menusuk ke dalam kalbunya. Budak Cina itu terpesona.
Selepas selesai persembahan dikir barat, budak Cina itu balik ke rumah. Kali ini semangatnya makin berbunga untuk menghasilkan pantun-pantun yang lebih indah.
Peliknya, malam itu juga budak Cina itu terus mengarang pantun. Selesai mengarang, budak Cina itu membaca kembali pantun yang ditulis sambil cuba melagukan.
Seronok betul budak Cina itu sebab dia berjaya mengarang beberapa rangkap pantun hasil pemikirannya sendiri dalam buku latihan sekolahnya.

Hari demi hari, minat budak Cina ini terhadap pantun makin mendalam. Setiap hari dia mesti mengarang beberapa rangkap pantun. Pantun-pantun yang dikarang itu disimpan untuk koleksi peribadinya.
Bahasa dalam pantun yang dikarangnya juga makin puitis dan memiliki makna yang tersirat. Tahun berganti tahun, budak Cina ini telah berpindah ke Machang, Kelantan. Budak lelaki Cina ini sudah memasuki alam sekolah menengah. Tapi semangatnya untuk mempelajari pantun Melayu tidak pernah luntur.
Ketika berpindah ke Machang, budak lelaki Cina ini makin terdedah dengan pelbagai bahan bacaan. Di Machang banyak kedai yang menjual buku-buku pantun dan sastera.
Suatu hari, semasa memasuki  sebuah kedai buku, budak Cina ini ternampak majalah Mastika. Budak itu pun mengambil majalah itu dan membelek-belek halaman demi halaman.
Tiba di suatu halaman, budak itu terbaca sajak nukilan Usman Awang. Budak Cina itu membaca karya tersebut. Bahasa yang digunakan lagi indah dari pantun. Budak lelaki Cina itu terus membeli Mastika.
Malam itu budak Cina itu membelek-belek kembali Mastika. Budak Cina itu tertarik dengan sajak-sajak yang tersiar di dada majalah itu. Sajak yang paling menusuk di kalbunya karya Usman Awang.
Budak Cina itu merasakan sajak Usman Awang ada keserasian dengan jiwanya. Budak lelaki Cina ini mula bercita-cita untuk menghasilkan sajak pula.
Budak Cina itu pun mula mengarang. Siap satu sajak, dia mengarang sajak seterusnya. Setelah banyak sajak yang dihasilkan, budak Cina ini mula berangan-angan.
Ya, budak Cina ini berhajat menghantar sajak-sajak nukilannya di dada-dada akhbar dan majalah supaya seluruh rakyat Malaysia boleh membacanya.
Tapi layakkah dia? Hebat sangatkah karya yang dihasilkannya? Persoalan itu membantutkan niat budak Cina itu buat seketika.

Semasa di sekolah menengah, budak Cina ini mendapat semangat baru. Rakan-rakan Melayu mendorong budak Cina ini berkarya.
Budak Melayu yang paling banyak membantunya bernama Abdul Aziz. Bersama-sama Abdul Azizlah budak Cina ini sering bersembang mengenai sajak. Mereka bertukar-tukar pendapat dan sama-sama menghasilkan sajak.
Guru sasteranya, Puan Fatimah juga sangat memberi dorongan kepada budak Cina ini supaya berkarya. Suasana positif ini menaikkan lagi semangat budak Cina ini.
Tamat tingkatan lima, budak Cina ini ditawarkan menyambung pengajian di Maktab Perguruan Pulau Pinang. Dia ditawarkan dalam bidang Bahasa Melayu dan Matematik. Jarang sekali ketika itu orang dari bangsa lain mengambil jurusan Bahasa Melayu.
Tapi, budak Cina ini tidak berasa janggal kerana sedari kecil lagi dia sudah berkawan dengan orang-orang Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.
Semasa berada di maktab, budak lelaki Cina ini sudah mula matang dalam penulisan sajak. Sudah beratus-ratus sajak yang dihasilkannya. Cuma budak Cina ini belum berani untuk menghantar sajak-sajaknya untuk disiarkan dalam akhbar dan majalah. Budak Cina ini masih belum yakin dengan keupayaannya sendiri.
Semasa di maktab, budak Cina ini mula mendeklamasikan sajaknya apabila ada majlis-majlis rasmi maktab.
Mari bersila di tikar budaya
Bersama meniup serunai
dan memalu gendangnya
Iramanya adalah tingkah dan
dendang perpaduan
Dan, anak-anak kita
mengorakkan senyuman
Dalam satu dakapan erat,
santunnya
Bangsa yang berjati diri.
Ramai yang terpegun dengan kebolehan dan kebernasan kata-kata yang digunakan oleh budak Cina ini semasa bersajak. Kawan-kawannya juga memberikan komen-komen yang positif membuatkan budak Cina ini terfikir. Dia mula menilai sajak-sajak yang telah dihasilkannya.
Akhirnya dia membuat satu keputusan. Dia mahu menghantar sajaknya kepada surat khabar pula. Budak Cina ini akhirnya memberanikan diri menghantar sembilan buah sajak sekali gus ke akhbar Mingguan Malaysia. Budak Cina itu menanti dengan penuh debaran. Dia tidak pasti sajaknya itu layak disiarkan atau dibakulsampahkan.
Akhirnya pada tanggal 14 Oktober 1973, sajak bertajuk Seorang Anak Kecil karya budak Cina ini tersiar di Mingguan Malaysia. Ah, gembira bukan kepalang budak Cina ini apabila sajaknya tersiar. Akhirnya impiannya supaya sajaknya dibaca orang termakbul.
Budak Cina itu belum puas. Kali ini dia memasang tekad yang lebih besar. Dia mahu terkenal sebagai seorang ahli sastera Melayu pula pada suatu hari nanti.
Budak Cina itu terus berusaha. Dia mula menghantar karyanya ke majalah Wanita, Utusan Melayu dan bermacam-macam penerbitan lagi. Paling membanggakan, kebanyakan sajak yang dihantarnya tersiar!
Kini, keyakinannya semakin tinggi. Akhirnya budak Cina nekad untuk terjun terus dalam bidang sastera Melayu. Budak Cina itu terus mengorak langkah tanpa memandang ke belakang lagi. Sajak demi sajak berjaya dihasilkannya.
Setelah dewasa, kegilaan budak Cina ini dalam sastera Melayu berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai pemenang anugerah S.E.A. Write Award daripada kerajaan Thailand pada tahun 2000.
Nama budak Cina itu kini gah di serata Malaysia dan seantero dunia. Kini, budak Cina ini bukan lagi sembarangan orang. Ya! Memang budak Cina yang suka membaca pantun dan sajak ketika berusia tujuh tahun itu bernama Lim Swee Tin! Malah, dia menjadi pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sekarang, orang memanggilnya… Profesor Madya Datuk Dr. Lim Swee Tin.
Anda kenal sasterawan tersohor ini?

NOTA: Profesor Datuk Dr. Lim Swee Tin merupakan salah seorang sasterawan, penulis dan pengarang. Beliau juga penerima S.E.A Writer Award 2000 (penghargaan tertinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara yang dianugerahkan oleh kerajaan Diraja Thailand). Aktif muncul di pelbagai acara dan di kaca televisyen mendeklamasikan puisi, beliau yang dilahirkan di Bachok, Kelantan, juga merupakan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia. Lim Swee Tin pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, 1986/87, 1988/89, Hadiah Penghargaan Anugerah Puisi Putra 2, 1983 melalui antologi “Akrab”, hadiah kedua Peraduan menulis Cerpen dan Puisi 100 Tahun Kuala Lumpur, Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank, Hadiah Cerpen DBP-Maybank dan banyak lagi. Puisi beliau berjudul “Ketika Kami Bercerita Tentangnya” telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi “Anak Bumi Tercinta” yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

