BERSEMPENA dengan sambutan lebaran tahun ini, penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza telah merakamkan sebuah single raya terbaharu yang diberi judul Lip Lap Raya. Kali terakhir beliau muncul dengan single raya pada 2016 menerusi lagu Hari Kemenangan.
Lagu dan lirik Lip Lap Raya adalah ciptaan bersama Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan. Lagu ini menggabungkan rentak inang, canggung serta turut diselitkan elemen dikir barat manakala liriknya pula berkisarkan kemeriahan sambutan hari raya setelah dua tahun berada dalam fasa pandemik.
Penerbit lagu, Glow Rush mengatakan bahawa keistimewaan pada lagu Lip Lap Raya adalah daripada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan dram elektronik,synth serta vokal Siti yang menjadi kekuatan lagu tersebut.
Pihak Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama single Lip Lap Raya, yakin dengan penerimaan peminat muzik tanahair terhadap karya terbaharu Siti Nurhaliza ini.
Menurut Siti sendiri, lagu Lip Lap Raya adalah sebuah lagu yang dapat menarik minat pendengar walaupun baru pertama kali mendengarnya.
Lazimnya sebuah lagu baru akan mengambil masa untuk diterima atau digemari tetapi muzik yang ditampilkan menerusi lagu Lip Lap Raya akan dapat melekat di hati pendengar.
“Saya gembira kerana dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya serta menambah koleksi lagu raya nyanyian saya. Saya sangat berharap agar lagu ini turut menjadi sebuah lagu raya ‘evergreen’ pada satu hari nanti, “ujar Siti yang turut menyiapkan video muzik Lip Lap Raya, arahan Aaron Lee.
Video muzik rasmi Lip Lap Raya boleh ditonton di saluran youtube Siti Nurhaliza bermula 20 April, jam 9 malam.
Malah, Lip Lap Raya sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, JOOX, KKBox dan Deezer.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

