Hidup ini sifirnya mudah, sentiasa berbuat baik dan berbaik sangka. Pasti bahagia. Namun bila membabitkan soal hati, adakalanya terdetik pelbagai rasa yang sukar nak diungkap dengan kata-kata. Rasa marah, sedih, iri, riak dan gembira.
Apa yang dilihat pada dasar, belum tentu sama pada permukaannya. Apa yang diluar pengetahuan kita, sebaiknya jangan diusik atau dipersoal.
Begitulah perkongsian Siti Suryani Yaakop, ulasnya apa yang kita tidak nampak, jangan sesekali diberi ulasan. Hidup ini mudah, pandanglah orang dengan rasa bahagia.
“Kita ada kawan gaji 5 angka. Dia pakai kereta mewah. Rumah dia pun besar. Tiap tahun kerjanya memang melancong. Beg mahal. Kasut berjenama. Semua yang gah lah kiranya.
Untuk orang seperti dia, kita tak boleh kata dia menunjuk. Bongkak. Riak. Berlagak.
Itu kemampuan dia.
Takda dia menyusah diri hutang kawan. Scam member. Pinjam duit mak ayah. Dah memang dia boleh pakai. Sikit tak nyusah kat orang dia pakai semua tu. Itu pun berkepuk lagi balance bulan-bulan.
Dengan segala benda yang ribu riban dia pakai tu kita tak boleh pulak kata dari beli benda mahal, lebih baik sedekah.
Sebab kita tak nampak. Tak nampak berapa banyak sedekah yang dia beri. Setiap kali keluar makan dia bayarkan semua sekali. Setiap kali pergi Petronas dia belanja orang sebelah minyak free. Setiap kali nampak orang minta sedekah tak kurang 100 dia bagi. Setiap kali lalu kat FB ada tempat minta bantuan laju dia bank in tak fikir dua tiga kali.
Begitu juga dengan kawan biasa-biasa. Pakai kereta buatan Malaysia saja. Paling hebat pun tempat sejuk pernah pergi Cameron. Tu pun rasa macam oversea dah dia. Baju, kasut, beg caca merba. Ada yang mahal. Ada yang murah. Ikut suka rasa nak guna apa.
Dan begitu juga tak boleh nak kata yang orang biasa-biasa ni tak memberi. Hidup cuma untuk memenuhi keperluan sendiri. Kalau sendiri pun tak cukup, macamana pulaklah lagi dia nak bagi-bagi.
Sebab sama. Sebab kita tak nampak. Tak nampak betapa sabarnya hati dia bagi makcik yang minta 50 ringgit sedangkan dia sendiri pun cuma tinggal 100. Tak nampak walau dia takda banyak duit nak bagi tapi bab tolong orang dia yang pertama serah diri. Tak nampak dia tak pernah missed masuk seringgit dalam tabung sedekah Subuh setiap pagi.
Jadi bila kita tak nampak, kita jangan kata.
Kita cuma kena sangka begitu saja. Kita sangka dia juga sedang berbuat baik macam kita. Tapi dia sembunyi malas nak cerita. Tak kiralah dia orang ada-ada. Sama juga kalau dia orang biasa-biasa.
Cukup. Sebab bila kita bersangka yang sebaliknya kita mudah nak buat diri kita nampak dan kelihatan lebih baik yang sungguh akhirnya membawa pada satu penyakit hati yang lain iaitu sombong.
Dan sombong inilah sifat yang menyebabkan tersingkir iblis dari syurga. Bukan pasal dia buat jahat. Tapi pasal dia rasa dialah saja yang lebih baik serba segala.
Hidup ini mudah saja.
Pandang orang rasalah bahagia.
Hidup ni rasa bahagia.
Kalau tidak menyangka-nyangka.
Siti Suryani Yaakop
#kaknis”
Sumber : Siti Suryani Yaakop

