BUAT julung kalinya dalam sejarah, dua menantu penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah dan Tya Arifin bergandingan dalam sebuah drama pendek khas berjudul Bagaikan Raya.
Menurut Tya yang juga pengasas jenama Mutyara, sudah menjadi tradisi syarikatnya menghasilkan sebuah karya yang unik sempena sambutan Aidilfitri.
Tahun sebelum ini pihaknya bergandingan dengan pelakon terkenal, Fauziah Nawi menerusi drama Sesudu Kebahagiaan.
“Saya teruja dan tidak sabar kerana ini kali pertama saya dan Izara bergandingan dalam sebuah drama. Saya agak gementar, sebelum ini sebagai satu keluarga, kami sudah biasa makan dan menghadiri acara bersama-sama cuma tidak sangka boleh berada satu ‘frame’ dengannya.
“Bagi saya Izara Aishah seorang pelakon yang hebat di Malaysia. Sangat senang bekerja dengannya, kalau tahu daripada dahulu berlakon bersama,” kongsi Tya.
Tambah Tya, ini adalah pengalaman pertamanya memegang watak yang berbeza iaitu menjadi orang Utara.
“Dalam drama Bagaikan Raya, ini kali pertama saya berlakon sebagai orang Utara. Sebelum ini tiada yang menawarkan watak sebegitu, biasanya saya hanya mendapat watak orang Indonesia sahaja,” ujar Tya.
Sementara itu, Izara yang juga isteri kepada Adib Khalid mengakui teruja untuk bergandingan dalam sebuah naskhah raya bersama Tya yang penggambarannya dilakukan pada awal Ramadan lalu.
“Ini kali pertama kali saya berlakon dengan Tya. Alhamdulillah, tidak berasa janggal, dan sayangembira mungkin sebab sudah biasa dengan dia. Semuanya berjalan dengan lancar.
“Sebenarnya, ini kali pertama juga saya melihat dia berlakon, dia seorang yang sangat teratur apabila bekerja,” tutur Izara yang akan menyambut raya di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Drama pendek Bagaikan Raya diinspirasikan daripada kisah duka pandemik Covid-19
yang melanda seluruh dunia dan kehilangan insan tersayang.
Ia mengisahkan duanadik-beradik yang sangat rapat dan disebabkan pandemik hampir dua tahun mereka tidak dapat pulang beraya di kampung. Justeru, mereka teruja dapat merentas pulang dan beraya bersama pada tahun ini.
Di sebalik tawa riang dalam kesibukan pulang dan membuat persiapan raya, namun ada ujian berat yang perlu ditempuh mereka dan membuatkan raya kali ini cukup berbeza.
Tya dan Izara mengharapkan drama pendek Bagaikan Raya lakonan mereka sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri peminat dan orang ramai.
Bagaikan Raya mula bersiaran pada 22 April lalu di Instagram Tya Arifin dan Izara
Aishah serta di saluran YouTube, The Tya’s Family.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

