semakin bersyukur semakin banyak nikmat

Kata-kata ahli falsafah Jerman, Albert Schweitzer, “Syukur adalah rahsia kehidupan.”

Bersyukur adalah vaksin, antitoksin dan antiseptik.” –John Henry Jowett.

“Bersyukurlah kepada yang memberikan kebahagiaan kepada kita; mereka adalah pekebun ajaib yang membuatkan jiwa berbunga indah.”- Marcel Proust

Itulah kata-kata pujangga yang menceritakan tentang takjubnya penangan syukur jika diamalkan. Ternyata tidak sia-sia jika hati, lidah dan perbuatan sentiasa melafazkan syukur. Ia amat berbaloi seperti yang dikatakan oleh Dr. Robert A. Emmons, pensyarah Psikologi di Davis Psikologi Universiti California, sentiasa mengucapkan syukur memberi kesan pada kebahagiaan, kepuasan di dalam kehidupan dan kesihatan fizikal.

Dr. Emmons  memuatkan kajiannya di dalam buku, Thanks! How the New Science of Gratitude Can Make You Happier. Mempunyai perasaan syukur dan mengucapkannya sepenuh jiwa raga ialah kunci  kehidupan yang lebih sihat. Ia bukan sekadar kata-kata yang meniti di bibir saja. Dr. Emmons berjaya membuktikannya secara saintifik bagaimana bersyukur itu boleh meningkatkan kebahagiaan sebanyak 25 peratus.

Hampir sedekad masanya dihabiskan untuk mengkaji kesan perasaan syukur pada kesihatan fizikal, kesejahteraan psikologi dan perhubungan dengan orang lain. Siri kajian yang dijalankan, Dr. Emmons sedaya upaya cuba menanamkan kesyukuran secara sistematik pada hati setiap orang yang mengambil bahagian di dalam kajiannya.

Cara yang dilakukannya adalah dengan memberikan ‘jurnal syukur’ kepada setiap orang. Setiap orang dikehendaki mencatatkan apa saja perkara yang berlaku setiap hari yang dirasakan sesuatu yang menyenangkan atau terhutang budi.

‘Jurnal syukur’ dan semua amalan kesyukuran, nampak macam perkara yang ringkas dan mudah tetapi kesannya memang amat menakjubkan. Percaya atau tidak,  di dalam kajian itu Dr. Emmons mendapati subjek kajian yang menyimpan, menulis dan mencatatkan rasa syukurnya secara teratur dan dirakam di dalam jurnal setiap hari akan memberi kesan yang besar kepada kehidupan.

Kajiannya menggunakan sampel 1000 orang yang berumur 8 hingga 80 tahun selama tiga minggu namun kesan yang diperoleh boleh bertahan selama enam bulan. Inilah hasil kajian yang memberi manfaat apabila syukur itu sentiasa dilakukan secara teratur:

Manfaat fizikal:

*Menguatkan sistem imun

*Kurang diganggu kesakitan dan keperitan

*Mengawal tekanan darah

*Dapat melakukan senaman lebih baik dan boleh menguruskan kesihatan dengan cekap.

*Tidur yang nyenyak dan boleh memulihkan tenaga selepas bangun daripada tidur

Dari sudut psikologikal:

*Tahap emosi positif yang tinggi

*Lebih pantas, cekap, bersemangat dan sentiasa berhati-hati

*Lebih optimistik dan bahagia

*Gembira dan menikmati keseronokan

Dari sudut Sosial:

*Mudah membantu, murah hati dan penuh belas kasihan. Pemaaf, peramah.

*Kurang merasa kesunyian dan terasing

Dr. Emmonns, mengungkapkan makna syukur hasil dari kajiannya. Ia terbahagi pada dua bahagian. Pertama ia adalah kaitan dengan pengakuan pada kebaikan. Dengan bersyukur sesungguhnya hati mengaku bahawa di dalam dunia ini ada perkara kebaikan yang berlaku, anugerah dan  manfaat yang kita terima setiap hari.

Ia bukanlah bermakna kehidupan ini amat sempurna, ia juga tidak bermaksud tidak ada rungutan, bebanan dan kesusahan. Tapi apabila kita melihat semula ke dalam kehidupan ini secara keseluruhannya, syukur itu menggalakkan kita untuk mengenal pasti antara nilai-nilai yang baik di dalam hidup.

Bahagian yang kedua pula, syukur itu adalah untuk mencari dari mana kebaikan itu datang.  Kita mula menyedari bahawa sumber pada kebaikan yang terdapat di luar. Kita boleh menghargai semua tingkah laku positif tapi syukur yang sebenar ada kaitan dengan kerendahan hati seseorang.

Apa Yang Baiknya Tentang Syukur

Menurut Dr. Emmons, syukur itu amat besar pengaruhnya di dalam hidup seseorang. Inilah hasil kajian yang diperolehnya:

Pertama: Syukur memberikan kenikmatan hidup

Syukur menerbitkan emosi positif dengan cepat. Manusia ialah spesies yang mempunyai emosi suka pada sesuatu yang baru dan perubahan. Apabila mendapat sesuatu yang baru maka hidup akan lebih berkobar-kobar. Apabila semuanya sudah lama maka perasaan jemu akan bermaharajalela.

Namun, dengan bersyukur perasaan jemu itu akan bertukar menjadikan kita lebih menghargai apa yang dimiliki. Dari situlah kita boleh mendapat manfaatnya dan tidak mengambil jalan mudah.

Kesannya, syukur itu menjadikan kita lebih menghargai kehidupan.  Semakin kita positif maka makin banyak keseronokan hidup yang oleh dinikmati.

Kedua: Syukur menghalang toksik, emosi negatif

Perasaan negatif seperti iri hati, geram, kecewa, menyesal akan menghancurkan kebahagiaan dan kegembiraan. Kajian yang dilakukan oleh ahli Psikologi, Alex Wood yang dimuatkan di dalam Journal of Research in Personality (2008) mendapati, syukur boleh mengurangkan kekerapan dan jangka masa episod kemurungan.

Ia masuk akal kerana kita tidak boleh mempunyai perasaan iri hati dan bersyukur di dalam masa yang sama. Andainya hidup penuh dengan perasaan bersyukur pastinya kita tidak akan berasa geram jika tidak dapat memiliki sesuatu. Dr. Emmons sendiri mengakui,  kajian yang dijalankan mendapati, orang yang mempunyai tahap kesyukuran yang tinggi pastinya  memiliki perasan geram dan iri hati yang paling rendah.

Ketiga: Syukur mampu menghalang stres

Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan, mereka yang mengalami trauma serius, kesakitan, kesengsaraan dan menderita, akan lebih cepat sembuh jika bersyukur dengan keadaan yang dialaminya. Dr. Emmons, percaya syukur menukar perspektif negatif terhadap kehidupan dan membantu menentang stres dan kebimbangan berpanjangan.

Dan kerana itulah Allah S.W.T. menyuruh kita hamba Nya agar banyakkan bersyukur kerana terbukti amalan bersyukur mampu memberi manfaat bukan sahaja pada jiwa dan rohani malah kepada tubuh serta kenikmatan hidup. Jika tidak masakan dalam surah Ibrahim ayat 7 Allah berfirman:

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu”

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare