SEDIH dan kecewa diluahkan oleh penyanyi Radhi OAG apabila tawaran persembahan yang dipersetujui dibatalkan secara tiba-tiba.
Penyanyi itu juga turut menyatakan bahawa sebelum ini, terdapat tiga tawaran daripada tiga kompleks membeli belah di Johor dibatalkan secara tiba-tiba, sekaligus mengakibatkan kerugian lebih daripada RM8,000 menimpanya.
Radhi, atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 45, turut menyatakan bahawa perkara ini tidak adil daripada pihak penganjur untuk membatalkan persembahannya sebelum mahkamah membuktikan kesalahan memukul bekas isterinya.
“Saya cuma mohon jasa baik penganjur agar berlapang dada dan berikan saya peluang untuk cari rezeki.
“Belum terbukti saya bersalah tapi saya seolah-olah dah dihukum oleh mereka.
“Sedangkan saya perlu cari wang untuk hidup dan sara anak-anak. Sebutan kes saya pula 13 Julai. Kalau begini bagaimana saya nak hidup?,” katanya memetik sumber Harian Metro.
Dengan nada sedih, Radhi turut meluahkan rasa kecewa terhadap penganjur yang tidak menjawab panggilannya setelah mendengar berita yang tersebar sekali gus tawaran persembahannya dibatalkan.
“Sebenarnya saya tak salahkan sesiapa dalam perkara ini terutama bekas isteri, Ayu walaupun tindakannya menyebabkan perkara ini terjadi.
“Ia lebih berkaitan sikap sesetengah orang kita yang tersilap menghakimi sedangkan kes belum dibicarakan. Saya seolah dah disahkan bersalah,” ujarnya.
Sebelum ini, Radhi dituduh memukul bekas isterinya, Ayu, atau nama sebenarnya Nur Shahira Ayu Zahiri, 27, di kawasan rumahnya, Kota Damansara pada 19 April yang lalu.
Walau bagaimanapun, Radhi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 22 April yang lalu.
Untuk rekod, Radhi dan Ayu disahkan bercerai pada 16 Julai 2019 oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari selepas penyanyi itu melafazkan talak pada 25 Mac 2019.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 itu dikurniakan dua cahaya mata berusia enam dan tujuh tahun.

