PENYANYI Radhi mengakui kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang relajar berusia 21 tahun yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Radhi yang juga vokalis kumpulan OAG berkata, ketika ini hubungannya dengan gadis tersebut dalam fasa yang serius setelah dua tahun saling mengenali antara satu sama lain.
“Kalau boleh saya tak nak share sangat, tapi biarlah yang ketiga ini adalah yang terakhir. Kalau dah tiba masanya nanti barulah saya akan kongsikan kepada semua.
“Dia ni memang sempoi, tak ada sosial media dan saya memang nak cari yang macam tu. Apapun ini semua adalah perancangan sahaja untuk fasa seterusnya,” katanya memetik laporan KopiPlanet.
Radhi berkata demikian ketika majlis sidang akhbar Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku, baru-baru ini.
Konsert berkenaan akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Disember ini sempena 30 tahun pembabitan OAG dalam industri muzik.
Jelasnya, buat masa ini dia mahu gadis berkenaan untuk fokus terlebih dahulu dalam pengajiannya sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Tidak mendedahkan tentang permulaan perkenalan mereka berdua, Radhi memberitahu sikap gadis itu yang matang dan pandai membawa diri, antara faktor mengapa dia sanggup membuka pintu hatinya untuk kembali menjalinkan hubungan cinta.
“Apa yang boleh saya katakan dia kenal diri saya A to Z. Cara pergaulan dan percakapannya, dia tahu apa yang boleh dan tidak boleh.
“Namun, ingin saya tekankan yang ini semua adalah perancangan. Paling penting dia kena fokus study dulu dan saya boleh berusaha untuk perbaiki diri lagi,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes dakwaan dirinya memukul bekas isterinya, Radhi memberitahu dia akan naik ke mahkamah untuk perbicaraan pada 14 Februari 2023.
Ujar Radhi, sebelum ini dia ada meminta bekas isterinya menarik semula kes, namun bekas isterinya tetap berkeras untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.
“Saya dah minta dia tarik kes sebab saya pun tak nak fight. Apapun yang berlaku, saya dah maafkan dia dan harap dia pun dah maafkan saya.
“Kalau dia nak teruskan sampai ke mahkamah, saya terima dan harap semuanya dapat diselesaikan. Saya anggap ini semua adalah ujian daripada Allah,” ujarnya.
SUMBER: KopiPlanet

