Isu yang cukup hangat diperkatakan apabila ibu bapa yang mendidik anak-anak bertutur dalam berbahasa Inggeris disindir, malah dibangkitkan pula asal usul kerana dikatakan seolah-olah lupa daratan.

Malah jelas personaliti media sosial, Dr Syahr Musafir, dia sendiri pernah menjadi mangsa sindiran apabila anak-anaknya dididik dan petah berbahasa Inggeris. Malah perkongsian resipi masakan juga dibangkitkan menjadi isu apabila dia dikatakan jarang berkongsi menu masakan Melayu.

Walau bagaimanapun ulasnya, segala ‘cakap-cakap’ kosong itu diabaikan dan dia dan keluarga tetap meneruskan cara hidup mereka selagimana tidak menyalahi hukum agama.

Dulu hitam belemuih ataih Ban, made in Kokdiang. Sekarang ni tak belemuih dah, salah ke?
Di sekolah dulu sama-sama gagal English. Sekarang wajib teruskan jadi manusia gagal ke?
Saya timbang guna Thermomix. Maka saya kurang Melayu daripada orang yang timbang guna penimbang ke?

“Kawan tu bercakap bahasa Inggeris je, bukan apa pun. Kenapalah kita perlu rasa sentap, marah, menyindir dan memburukkan dia?

Saya pernah rasa benda ni, ketika awal-awal masa kami baru balik Malaysia dari Australia. Ketika itu Along ST berusia 3 tahun 6 bulan (sekarang berusia 10 tahun 10 bulan) dan Angah IY berusia 1 tahun 3 bulan (sekarang 8 tahun 6 bulan), mereka faham bahasa Melayu tetapi sudah menjadi kebiasaan mereka untuk bercakap bahasa Inggeris. Saya pula lebih membiasakan bercakap bahasa Inggeris dengan anak-anak.

Kami ke shopping mall, tak ada yang pelik pun dengan kami sebab kami rasa biasa. Tetapi ada mata-mata yang memandang, juga saya anggap biasa. Sehinggalah ada satu masa, saya disindir oleh seorang lelaki di meja sebelah ketika makan di sebuah café, “Hok aloh… Mok pok Melayu muko Melayu, pah kecek ore putih denge anok-anok. Tok sedar diri sungguh la wei. Jenih koya!”

Apa dia kata? “Alahai… Mak ayah Melayu muka Melayu, tapi cakap Inggeris dengan anak-anak. Tak sedar diri sungguh. Perasan (atau poyo)!”

Terkejut saya.

Saya bercakap Inggeris dengan anak-anak saya. Dah kenapa dia pula yang panasss?

Bukan setakat itu, saya yang selalu share masak-memasak dan masakan saya ini juga pernah disindir di bahagian komen dan personal messages, contohnya;

“Asyik spageti, pasta, roti… Tak reti masak makanan Melayu la tu, padahal muka Melayu…”

“Kalau sekadar pandai masak piza, spageti, tak kira pandai masak pun. Buatlah asam pedas, nasi beriani, sambal petai, barulah betul pandai memasak. Kata Melayu kan….”

“Ajar anak-anak makan pasta segala bagai, sedangkan diri tu Melayu. Tak nak mengaku Melayu ke apa? Dok Australia lama sangat sampai tak boleh nak makan masakan Melayu dah? Orang lain duduk UK lebih 30 tahun pun makan nasi la….”

Itu 3 contoh sindiran atau kecaman yang saya pernah terima.

Pasal memasak atau makan je, tetapi saya disindir macam saya buat salah. Adoyaiiiiii pelik sungguh manusia.

Saya malas nak bertekak pun.

Cuma saya nak beritahu;

Makan masakan Melayu atau orang putih, tak salah pun. Orang yang makan makanan Barat tu tidak kurang keMelayuan pun berbanding orang yang makan masakan Melayu.

Saya pandai je masak hidangan Melayu. Kalau tak percaya, sudah 😅😅😅

Saya masak/rebus air guna Thermomix. Maka saya kurang Melayu daripada orang yang rebus air guna cerek ke?
Tak kisahlah apa pun. Orang Johor buat hidangan laksa Johor, guna spageti. Tahu tak???

Bercakap bahasa Inggeris dengan anak-anak juga tak salah. Tak kurang keMelayuan pun berbanding orang yang cakap bahasa Melayu dengan anak-anak.

Anak sulung saya dulu balik Malaysia, nak sebut “ketuk pintu” tetapi tersalah sebut “kentut pintu” tu sekarang sudah pandai berbahasa Melayu dengan lancar dah, cikgu-cikgu di sekolah pun memuji sejak Darjah 1 lagi. Pergi sekolah, cakap Melayu. Balik rumah, cakap Inggeris… Tak salah apa pun.

Lebih-lebih lagi di Kelantan ni. Ramai orang Melayu tak pandai berbahasa Inggeris bukan sebab bodoh, tetapi tak biasa gunakan bahasa Inggeris dalam perbualan dan tulisan. Ramai orang Melayu di Kelantan ni kalau pandai bercakap bahasa Inggeris tetapi bunyi slanga Kelantan yang selalu diketawakan oleh orang ramai tu bukan sebab mereka lidah keras akibat makan budu, tetapi tak biasa bercakap dalam bahasa Inggeris je.

Habis tu, takkan nak biarkan je berterusan? Takkan tak nak berubah langsung?

Biarlah dia nak cakap bahasa Inggeris dengan anak-anak dia. Bukan dia cakap dengan anak-anak kamu yang tak reti bahasa Inggeris tu. Tak payahlah kamu nak sentap tak pasal-pasal. OK?

Anak-anak saya sekarang pandai berbahasa Inggeris, bahasa Melayu standard, Bahasa Melayu loghat Kelate, boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik, pandai berbahasa Arab dan serba sedikit boleh bahasa Sepanyol dan Mandarin Cina, dan saya berbangga dengan mereka. Makan pun anak-anak makan semua jenis masakan. Melayu, Barat, Cina, macam-macam, semua makan tanpa komplen. Tak dapat nasi, makan pasta. Tak dapat ayam, makan itik. Tak dapat sup daging, makan sup labu. Tak dapat rendang daging, makan shakshuka. Semua boleh makan. Tak risau pun anak-anak Melayu tak boleh makan kalau tak ada makanan Melayu.

Orang kita ni kadang-kadang macam gila pun ada. Orang kita ajar anak-anak bercakap bahasa Inggeris, disindir. Tetapi tiba-tiba ada anak Melayu reti bahasa Inggeris, diagungkan diviralkan dipuji melambung pula. Contradictory sungguh. Tu sebab saya kata gila.

Di Kelate ni kalau cakap Inggeris, ada orang beri gelaran ‘Kelate murtad’ pun ada. Aduhhhhh malas saya nak cakap pasal ni…..

Kepada lelaki yang menyindir di café tu, saya menjawab, “Beres je cakap Kelate pun boleh. Cuma masa anak-anak nak cakap Inggeris, saya cakap Inggeris. Sebab bukan salah pun kan…” kata saya kepada dia yang sedang melayan anak perempuannya seusia 6 tahun yang sedang memakai baju blouse tanpa lengan dan berseluar jeans, manakala saya sedang melayan anak perempuan saya berusia 6 tahun yang memakai baju kurung dan bertudung walaupun tudung kecil je. Nak je saya sindir dia pasal pemakaian anaknya tu tak Melayu pun tetapi saya tak sindirlah, saya bukan jenis manusia sebegitu.

Cara saya, abaikan saja. Teruskan hidup dengan cara kita, selagimana tak menyalahi agama. Ramaiiiiiiii orang Melayu Islam yang berbahasa Inggeris dapat berjaya dalam hidup dunia dan insyaAllah akhirat, jadi kita terus ajarkan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita ye.

FB Syahr Musafir Isnin 09/05/2022.”

Daging kisar siap rebus, carrot, mayonis, lemon dan serbuk black pepper. Saya gaulkan ni dan sapu pada roti untuk jadikan sandwich. Anak-anak saya tak bertukar jadi orang putih pun makan macam ni.

Sumber : Syahr Musafir