PELAKON dan isteri kepada penyanyi Nick Jonas, Priyanka Chopra buat pertama kalinya berkongsi gambar dia bersama bayinya setelah 100 hari berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Gambar yang dikongsi dalam laman sosial Instagram miliknya itu memperlihatkan sosok tubuh bayi yang dipeluk erat bersama suaminya di sisi namun wajah anaknya tidak didedahkan.
Priyanka turut berkongsi isi hatinya di Instagram selama bayinya berada di NICU sepanjang tempoh 100 hari dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam merawat anaknya.
“Pada Hari Ibu ini, kami tidak boleh mengelak daripada merenung beberapa bulan kebelakangan ini dengan cabaran yang telah kami lalui, yang kami tahu ramai juga orang pernah alami.
“Selepas 100 hari di NICU, akhirnya gadis kecil kami pulang. Setiap perjalanan keluarga adalah unik dan memerlukan tahap kesabaran tertentu.
“Walaupun perjalanan kami beberapa bulan ini amat mencabar, perkara yang sangat jelas apabila difikirkan semula ialah betapa berharga dan sempurna setiap saat.
“Kami sangat gembira kerana gadis kecil kami akhirnya pulang dan hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap doktor, jururawat dan pakar perubatan di Rady Children’s La Jolla dan Cedar Sinai, Los Angeles yang membantu tanpa rasa jemu dalam setiap langkah,” ujarnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, Nick tidak ketinggalan memberi ucapan penghargaan dan Hari Ibu dalam kongsian di laman Instagram buat isterinya.
“Saya ingin meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan ucapan selamat Hari Ibu kepada isteri saya yang luar biasa @priyankachopra pada Hari Ibu pertamanya.
“Awak memberi saya inspirasi dalam semua perkara, dan anda mengambil peranan baharu ini dengan mudah dan baik. Saya sangat bersyukur kerana berada dalam perjalanan ini bersama awak.
“Awak sudah menjadi ibu yang luar biasa. Selamat Hari Ibu. saya sayang awak,” luah Nick.
Untuk rekod, Nick, 29, dan Priyanka, 39, berkahwin pada 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Malti Marie Chopra Jonas menerusi kaedah ibu tumpang pada Januari lalu.
Bayi tersebut dilahirkan pra-matang pada usia kandungan 27 minggu.
Sumber: Pinkvilla

