Emas ke-27 dituai di kolam renang, KBS yakin sasaran mampu dicapai

Dari Penulis

MALAYSIA memperoleh emas ke-27 malam ini menerusi acara renang 200m gaya bebas lelaki menerusi Khiew Hoe Yean.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mengungguli saingan aksi final di Pusat Akuatik My Dinh dengan catatan masa satu minit dan 47.81 saat (s).

Beliauk meninggalkan Quah Zheng Wen di tempat kedua (1:48.20s) manakala gangsa milik perenang tuan rumah Hoang Quy Phuoc dengan catatan 1:49.35s.

Seorang lagi perenang negara, Welson Sim menamatkan saingan di kedudukan keenam apabila merakam 1:50.63s.

Ini juga koleksi pingat keempat diraih Hoe Yean di Hanoi selepas merangkul perak masing-masing dalam acara 400m gaya bebas, 200m kuak lentang dan 4x200m gaya bebas.

Terdahulu, emas ke-25 dan ke-26 Malaysia disumbang atlet karate menerusi acara kumite.

Memetik laporan Bernama, C.Shahmalarani, yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam kategori bawah 55kg wanita.

Beliau menumpaskan peserta Thailand, Chanyanut Chippensuk, dalam aksi final, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mengungguli acara berkenaan setelah wakil dari Thailand itu patah tangan dan tidak dapat meneruskan pertarungan.

Sementara itu, H.Sureeya Sankar turut cemerlang pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA apabila menyumbangkan emas kedua karate.

Baca: Sukan SEA: Sasaran 36 emas mampu dicapai – Peja

Sureeya menewaskan peserta Indonesia Hutapea Tebing 5-3 dalam aksi final bawah 67kg lelaki.

Sementara itu, Malaysia akhirnya meraih emas acara berpasukan golf lelaki Sukan SEA selepas dua dekad, menewaskan Thailand 2-1 dalam final hari ini.

Pasukan negara terdiri daripada Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar (pemain simpanan) menampilkan persembahan mantap di Heron Lake Golf Course & Resort di sini, untuk mengetepikan juara bertahan itu, sekali gus menyumbang emas ke-24 pada temasya dwitahunan berkenaan yang sedang berlangsung.

Kontinjen Malaysia menyasarkan 36 emas pada temasya di Hanoi yang mana setakat ini, skuad terjun menjadi penyumbang terbesar dengan lapan emas.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kontinjen negara pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 36 emas, 35 perak dan 75 pingat gangsa.

Beliau berkata, Malaysia masih mempunyai beberapa lagi sukan pilihan seperti gimrama, karate dan taekwondo yang mampu menghadiahkan pingat untuk mencapai sasaran itu sebelum temasya berkenaan menutup tirai pada 23 Mei ini. 

Ketika ini pasukan badminton lelaki sedang memburu emas ke-28 menerusi pertarungan final menentang Thailand.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Isu pemain naturalisasi: FAM sedang perkukuh aspek tadbir urus

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedang memperkukuh aspek tadbir urus, bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap integriti dan kredibiliti bola sepak...

More Articles Like This