PELAKON terkenal Fazura mendedahkan pembantu rumahnya telah melarikan diri bersama beg berjenama miliknya pada malam raya, baru-baru ini.

Menurut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, bekas pembantu rumahnya yang berumur 65 tahun itu dikatakan sudah enam kali melarikan diri daripada majikan sebelum ini.

“Salah seorang pembantu rumah saya berumur 65 tahun cabut lari malam raya yang lalu walaupun serba serbi tidak pandai samada kemas rumah atau memasak, saya berasa kesian mahu lepaskan kepada ejen sebab risau nanti ditugaskan kepada majikan yang tidak baik,” katanya.

Menurut pelakon filem Manisnya Cinta di Cappadoccia itu, dia gusar jika bekas pembantu rumahnya itu menggunakan namanya untuk menipu orang lain dengan beg berjenama kepunyaan Fazura sebagai bukti.

“Saya akan buat kongsian di laman sosial supaya orang lain tahu tentang dia ini sebab semasa dia melarikan diri bersamanya ada beg berjenama milik saya

“Jadi saya risau dia menjual nama saya untuk bekerja dengan orang lain,” luahnya lagi.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut berkongsi perancangan dia bersama suami untuk mendapatkan cahaya mata kedua selepas anak sulungnya, Nur Fatima Aisya kini telah mencapai usia hampir 2 tahun.

“Sebenarnya memang kami sedang merancang untuk mendapatkan anak kedua kalau boleh hujung tahun ini kerana sekarang saya cukup sibuk.

“Fatima sekarang suka menonton video-video bayi jadi mungkin itu jadi petanda untuk kami merancang cahaya mata kedua.

“Saya juga berharap selepas yang kedua dapat pula yang ketiga Insya-Allah kalau boleh memang saya mahukan tiga orang anak,” katanya.

Fazura dan Fattah Amin ditemui di majlis Rumah Terbuka Raya 2022 anjuran Universal Music Malaysia di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.

Pelakon itu juga turut mengulas sedikit berkaitan kegiatan dalam dunia lakonannya selepas kali terakhir membintangi filem pada 2019, Dendam Pontianak.

“Sebelum ini memang Erma Fatimah tawar untuk berlakon cerita yang berkonsepkan Islamik dan sepatutnya kami akan berjumpa pada bulan puasa yang lepas tapi tergendala.

“Ada orang disekeliling saya bertanya tentang niat untuk berlakon di bawah arahan beliau kerana baru-baru ini ada kontroversi tapi niat saya adalah untuk berlakon dan berharap cerita ni dapat beri manfaat kepada penonton semua,” ulasnya lebih lanjut.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah berkahwin pada November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata Nur Fatima Aisya yang berusia dua tahun.