PENGACARA, penyanyi dan juga pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim, 44, mendedahkan detik mimpi ngeri yang dialaminya sebagai hos suatu ketika dahulu.
Sarimah memberitahu, kejadian tersebut melibatkan rakan pengacara program Anugerah Juara Lagu (AJL) beberapa tahun lalu yang mana dia dia dimaki dan tidak dipandang secara profesional.
Pelantun lagu Kini Kau Tiada itu menyifatkan pengalaman mengacarakan program hiburan secara langsung itu sebagai insiden tragik dan memberi kesan traumatik yang sukar untuk dilupakan.
“Ia sangat teruk (It was horrible) sebab ia datang daripada rakan hos kita. Kalau rakan hos kita tu syok sendiri dan rasa dia lebih hebat, dia akan cuba tenggelamkan kita. Keseluruhannya akan tenggelam.
“Saya dimaki dan dia juga cuba jatuhkan saya secara langsung (live). Ianya detik yang sangat sukar untuk saya. Bagi saya, komen dia itu sangat seksis.
“Sepanjang masa saya mengacara bersama orang lain, semua jenis merendah diri (humble). Tetapi dengan individu tersebut, dia mementingkan diri sendiri,” katanya kepada URTV.
Sarimah ditemui pada acara Fenix360 Press Event di BOBO Kuala Lumpur, semalam.

Selebriti versatil itu juga merupakan hos kepada acara berkenaan.
Tambah Sarimah, dia akan berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran menjadi pengacara kepada sesebuah program yang akan datang dan itu merupakan kali terakhir dirinya akan bekerjasama dengan individu berkenaan.
“Jaga-jagalah apabila nak ambil tawaran kerja (job). Saya jadikan detik-detik ngeri itu sebagai pengajaran kerana saya tak sangka orang yang berada pada pentas sesebuah program terkemuka negara seperti AJL tu bersikap kurang profesional seperti dia.
“Nak jadi hos memang ‘passion’ saya, tapi itu merupakan kali pertama dan terakhir saya bekerjasama dengan dia.
“Saya mahukan profesionalisme,” luahnya.
Untuk rekod, selain Sarimah, AJL 19 pada 16 Januari 2005 juga dihoskan oleh Cheryl Samad dan Najip Ali.

