AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin memutuskan untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pada masa sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan peletakan jawatannya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri selari dengan pendirian PBM.
“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida yang menyertai Bersatu selepas dipecat PKR susulan peristiwa Langkah Sheraton juga merupakan Ahli Pimpinan Tertinggi parti yang diterajui Muhyiddin itu.
Baca artikel berkaitan: Belum terima notis, saya masih menteri, kata Zuraida
Mengulas mengenai penyertaannya dalam PBM, Zuraida menjelaskan keputusan itu dilakukan selepas melihat potensi dalam parti tersebut terutama ketika rakyat sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara.
Beliau turut mempercayai dengan perjuangan parti tersebut dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya.
“Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepemimpinan wanita dalam negara.
“Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” jelas beliau.
PBM yang dilancarkan pada 21 Disember lalu diterajui oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.
Dengan penyertaan Zuraida, parti tersebut kini mempunyai tiga ahli Parlimen termasuk seorang lagi iaitu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan dua ADUN.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

