Bersatu persoal mesyuarat PN diteruskan ketika semakan JPPM belum selesai

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

BERSATU mempertikaikan tindakan Perikatan Nasional (PN) meneruskan Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar gabungan itu walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dilaporkan masih belum memuktamadkan penerimaan rekod barisan kepimpinan PN.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, JPPM menerusi surat bertarikh 22 Jun lalu memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan kepada jabatan itu tidak lengkap dan tidak ditandatangani.

Beliau berkata, susulan itu JPPM meminta PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, JPPM turut memaklumkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod kepimpinan Majlis Tertinggi PN boleh ditangguhkan sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan.

“Wakil-wakil Bersatu telah membangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat perlu ditangguhkan berdasarkan maklum balas JPPM.

“Namun mesyuarat tetap diteruskan walaupun perkara yang dibangkitkan oleh JPPM masih belum diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, tindakan meneruskan mesyuarat itu berkemungkinan bertentangan dengan hasrat JPPM yang mahu semua urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN serta Akta Pertubuhan 1966.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata wakil Bersatu turut membantah cadangan menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu PN.

Katanya, bantahan itu dibuat kerana PN ketika ini sedang berdepan isu hubungan antara parti komponennya susulan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Menurut beliau, kemasukan parti baharu yang dikaitkan dengan bekas ahli Bersatu yang dipecat hanya akan menambah kerumitan dalaman gabungan berkenaan.

Beliau juga mendakwa proses permohonan PCM untuk menyertai PN menimbulkan beberapa persoalan dari segi pematuhan peraturan.

Katanya, permohonan itu dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PCM, namun semakan yang dibuat mendapati jawatan berkenaan kini disandang individu lain.

Selain itu, beliau mendakwa dokumen yang dikemukakan turut merujuk kepada Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, pertukaran nama parti dan perubahan kepimpinan masih belum mendapat kelulusan JPPM.

“Penggunaan nama parti yang belum diluluskan adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, Bersatu tetap komited kepada PN dan akan terus memastikan segala urusan pentadbiran gabungan itu dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa BERSATU akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, parti itu akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi bagi tujuan penyediaan watikah serta surat kebenaran menggunakan simbol PN.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Amanah pertahan Sharon Teo, nafi calon ‘payung terjun’ di Permas

PARTI Amanah Negara (Amanah) mempertahankan pencalonan Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)...

More Articles Like This