DATUK Shahira Ahmed Bazari dan Tan Sri Md Nor Yusof pada majlis pelancaran Laporan Hasanah 2021 di Petaling Jaya, semalam.

YAYASAN Hasanah masih membuka permohonnan bagi mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat mendapatkan Geran Khas Hasanah 2022 yang akan ditutup menjelang akhir bulan depan.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, yayasan itu memperuntukkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk NGO atau mana-mana pertubuhan menjalankan kerja-kerja program pembangunan masyarakat, pendidikan, alam sekitar dan sebagainya.

“Geran khas itu ditawarkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan mereka berminat boleh membuat permohonan melalui laman web Yayasan Hasanah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Laporan Hasanah 2021 di Petaling Jaya, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Yayasan Hasanah, Tan Sri Md Nor Yusof.

Katanya, syarat asas permohonan geran tersebut adalah pertubuhan itu telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, mempunyai laporan kewangan yang diaudit dan mempunyai projek yang mampu membawa perubahan dalam masyarakat.

“Maksimum bantuan geran adalah RM2.5 juta bagi projek berdurasi tiga tahun kerana kami percaya sesuatu projek yang memberi impak tidak hanya dilakukan untuk jangka masa pendek,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN Kampung di Sik dipilih projek rintis basmi kemiskinan tegar

Mengenai Laporan Hasanah 2021, Shahira berkata, yayasan telah mengumumkan pengagihan RM554 juta melalui program-program intervensi yang telah mencapai 1.48 juta individu di Malaysia pada tahun lepas.

Katanya, capaian itu adalah menerusi 222 projek melibatkan kolaborasi dengan 169 rakan kerjasama yang dianugerahkan geran; terdiri daripada organisasi masyarakat sivil, agensi kerajaan, perusahaan sosial dan juga badan-badan korporat di Malaysia.

Beliau berkata, ssaha-usaha ini merangkumi lima bidang impak iaitu: pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, kesenian dan ruang awam, dan ilmu pengetahuan.

“Kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan kami dalam menempuhi tahun 2021 yang amat mencabar, antaranya melalui pemberian biasiswa, usaha bantuan kemanusiaan, program sara hidup, pengagihan makanan, dan akses kepada pendidikan,” katanya,

Katanya, pencapaian itu adalah hasil kerjasama strategik antara organisasi masyarakat sivil, korporat Malaysia, agensi kerajaan serta Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan.

Antara kerjasama yang dilaporkan adalah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat dan membantu kesinambungan perniagaan.

Ini termasuk RM25 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi Rangkaian Tindak Balas Bencana (GDRN) Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Melalui rangkaian ini, Yayasan Hasanah telah menyalurkan RM16.5 juta kepada 32 GLC dan organisasi korporat di bawah sebuah geran padanan, yang menjangkau 200,000 penerima.

Yayasan Hasanah juga mengetengahkan peranannya dalam inisiatif CERDIK untuk menangani jurang pembelajaran digital bagi 150,000 pelajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia, serta penglibatan untuk memacu penggunaan kaedah pembelajaran digital pada masa depan.

Mereka yang berminat untuk memohon geran khas boleh memohon di https://yayasanhasanah.org/hasanah-special-grant-2022/ .

Selain itu, permohonan untuk dana ArtFAS (Seni Sepanjang Musim/ Art For All Seasons) untuk penggiat seni, warisan dan budaya juga akan dibuka bermula 1 Jun hingga 17 Julai 2022.

Manakala, Geran Dana ‘Seed & Growth’ Perusahaan Sosial 2022 pula akan dibuka bermula dari 15 hingga 30 Julai tahun ini. – UtusanTV