KUSKOY merupakan sebuah perkampungan kecil berhampiran pantai Laut Hitam di Turki. Kebanyakan penduduknya menjalankan aktiviti pertanian dengan mengusahakan tanaman teh dan kacang hazelnut.

Meskipun jauh di pedalaman, Kuskoy mempunyai tarikan yang tiada di tempat lain. Berada di perkampungan ini, kedengaran bunyi kicauan burung saling bersahut-sahutan. Jika anda merasakan bunyi itu datangnya daripada burung, anda salah.

Bunyi siulan yang berkicauan di perkampungan ini sebenarnya dialunkan oleh manusia. Kemerduan siulan burung yang berkumandang di kampung ini adalah milik manusia yang datang dari penduduk di sini.

Selain bertutur dalam bahasa ibunda, masyarakat di sini menggunakan bahasa siulan burung untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Komunikasi pelik ini bukan perkara baru di sana sebaliknya sudah diamalkan sejak turun-temurun lagi.

Ada sebab tertentu mengapa mereka masih mengamalkan perbualan bahasa burung tersebut. Ia dianggap sebagai suatu bahasa istimewa yang mampu merapatkan hubungan mereka. Misalnya, dengan bersiul mereka dapat meminta bantuan daripada jiran tetangga, menyebarkan sesuatu berita penting atau tujuan kecemasan.   

Sehingga hari ini, penduduk Kuskoy masih menggunakan bahasa siulan untuk berkomunikasi. Mereka berusaha melestarikan bahasa burung kepada keluarga dan sanak saudara lain agar cara berkomunikasi unik ini tidak hilang ditelan zaman.

Bahasa burung salah satu cara komunikasi penduduk di sini.

Bahasa siulan burung yang diamalkan penduduk Kuskoy turut menarik perhatian penyelidik dari seluruh dunia. Salah seorang daripada mereka ialah Profesor Onur Güntürkun dari Universiti Bochum, Jerman. Beliau sanggup menghabiskan masa lama demi mendalami komunikasi tersebut.

Menurutnya, bahasa berkenaan sangat unik dan memiliki rahsia tersendiri. Kajiannya tentang bahasa istimewa penduduk kampung ini pernah diterbitkan dalam Cell Press Journal Biology.

Berdasarkan pemerhatian, Güntürkun memberitahu, kaedah komunikasi ini popular sejak ribuan tahun dahulu. Bunyi siulan burung ini dipraktikkan sebagai cara untuk komunikasi pada jarak jauh. Bayangkan, hanya dengan satu siulan sahaja ia boleh didengari pada jarak 50 hingga 90 meter. Meskipun lokasi kampung tersebut dikelilingi bukit-bukau, ia masih dapat didengari dengan jelas.

Penduduk masih mengekalkan bahasa burung ini.
Walaupun dikelilingi bukit bukau, siulan bahasa burung ini mampu didengari.

Beliau menjelaskan, bunyi siulan ini mempunyai melodi tertentu dan ia sukar difahami oleh orang biasa.

Bahasa burung yang diamalkan penduduk di Kuskoy turut mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut kajian, bahasa burung telah diamalkan sejak berabad tahun lamanya di kalangan penduduk yang tinggal berhampiran Laut Hitam. Dan komunikasi tersebut diiktiraf sebagai salah satu warisan penting yang perlu dilindungi. 

Selain penduduk Kuskoy, bunyi siulan ini turut diamalkan oleh masyarakat di Trabzon, Rize, Ordu, Artvin, dan Bayburt. Sejak tahun 1997, Festival Bahasa Burung turut dianjurkan setiap tahun di Kuskoy. Ia dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahasa nenek moyang mereka. Di samping itu, beberapa buah sekolah tempatan turut giat memperkenalkan bahasa siulan kepada murid-murid mereka.

Bahasa burung ini turut mendapat pengiktirafan UNESCO.
Turut diajar kepada kanak-kanak supaya bahasa burung ini tidak luput ditelan zaman.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com