KERAJAAN akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akibat kenaikan harga barang terutama isu harga ayam ketika ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada lagi subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai nanti.
Sebaliknya, kata beliau, sumbangan kewangan secara terus kepada rakyat yang memerlukan akan diperkenalkan bagi memastikan bebanan rakyat tidak terlalu dirasai akibat kenaikan harga barang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengumumkannya secara terperinci.
“Kalau dibiarkan harga ayam diapungkan, mungkin ketika ini berharga RM12 sekilogram (kg) tetapi kerajaan memastikan harga ayam tidak dinaikkan dengan memberi subsidi kepada penternak sekali gus membuatkan harga kekal pada RM8.90.
“Kerajaan berbelanja sebanyak RM720 juta untuk memastikan harga ayam tidak dinaikkan tetapi ramai dalam kalangan penternak tak menuntut bayaran dengan pelbagai isu dibangkitkan.
“Oleh itu, mulai 1 Julai nanti, kita tak lagi akan berikan subsidi kepada penternak tetapi jumlah subsidi tersebut akan diberikan terus kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PM minta kementerian percepat projek pembangunan
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Perdana Menteri berkata, permasalahan rakyat sentiasa berada dalam pemikirannya sejak negara dilanda pandemik COVID-19.
Beliau mengakui sedar bahawa kehidupan rakyat telah terhimpit dan sekarang sedang melalui fasa pemulihan.
Sebagai ekonomi terbuka dengan nilai keseluruhan perdagangan luar merangkumi hampir 120 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kesan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia.
“Sekiranya konflik Rusia-Ukraine berterusan, ia akan memberi implikasi kepada komoditi dan turut memberi kesan kepada harga barang.
“Tindakan beberapa negara menghentikan eksport makanan seperti India dan Indonesia juga akan memburukkan lagi keadaan.
“Namun, ketahuilah bahawa kerajaan sentiasa memantau keadaan ini dan terus komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu seiring dengan perubahan senario ekonomi global yang lazimnya di luar kawalan kita,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

