PENYANYI Aweera akui cerewet dalam pemilihan karyanya bagi memastikan lagu yang dihasilkan kekal diingatan pendengar untuk tempoh yang lama.
Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham,31, memberitahu dia akan memberi keutamaan karya yang bersifat malar segar atau berkekalan.
“Contohnya lagu Isabella. Kalau dengar rasa macam baru semalam dilancarkan. Saya nak begitu. Kalau penyanyi lain mahu ketengahkan benda yang tular, itu terpulang. Itu hak masing-masing.
“Cuma bagi saya, saya lebih pentingkan naskhah yang ‘masterpiece’, maksudnya mungkin dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi orang tetap akan ingat lagu kita. Itu yang saya mahu,” katanya memetik Harian Metro.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Romancinta itu, dia bakal melancarkan single terbaharunya berjudul Menakluk Hatimu hasil ciptaan Tam Spider dan lirik ditulis oleh Keon pada Julai hadapan.
Aweera memberitahu setelah ditanya berkenaan kariernya selepas menyertai program Gegar Vaganza 8 (GV8) bahawa kini dia semakin matang dan bijak mengatur perjalanannya sebagai anak seni.
“Sebelum ini, macam-macam isu yang saya lalui. Saya ambilnya sebagai pengajaran. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya salahkan diri sendiri. Ketika itu masih muda dan saya belajar. Insya-Allah semuanya akan lebih baik.
“Senang cerita sekarang ini adalah Aweera yang baru (the new Aweera), doakan saya. Saya mengaku silap, kita hamba yang lemah. Saya pernah berada di atas sebelum ini. Apa yang berlaku banyak mengajar, beri pengajaran,” ujarnya.
Untuk rekod, selain daripada menyanyi Aweera pernah menceburi bidang lakonan di mana dia telah memainkan watak Ray dalam filem yang bertajuk Leftwings hasil karya Faisal Chal Ahmad.

