PELAKON dan penyanyi, Janna Nick meluahkan rasa teruja apabila lagu Gatal nyanyiannya berjaya menarik perhatian penyanyi antarabangsa terkenal, Psy.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner memberitahu bahawa dia terlalu gembira apabila melihat video yang dikongsikan di laman Instagram milik Psy.

“Memang gembira sangat-sangat. Itu saja cara saya nak gambarkan perasaan saya sekarang ini.

“PSY kot… Siapa yang tak gembira superstar dunia macam dia pilih lagu kita?

“Lepas tu dia promosi (promote) pula di Instagram yang ada pengikut berjuta-juta. Siapa tak suka?” ujarnya teruja.

Pada masa sama, Aepul yang merupakan komposer bagi lagu Gatal turut berasa gembira dengan pencapaian lagu tersebut sehingga dapat diterima oleh penggemar muzik di luar Malaysia.

“Alhamdulillah tak sangka Gatal dapat perhatian sampai ke sana (Korea). Pengalaman baharu untuk saya sebagai pencipta.

“Tambahan lagi, ini adalah kerja yang baik dilakukan oleh Janna dan juga pasukan pemasaran (Plus, it was a great job from Janna dan juga marketing team) dia,” kata vokalis Drama Band itu ringkas.

Terdahulu, penyanyi terkenal Korea Selatan berkenaan menggunakan lagu Gatal sebagai bunyi latar dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya hingga menarik minat peminat seluruh dunia mendengarnya.

Untuk rekod, lagu Gatal kini telah mencapai jumlah tontonan sebanyak 7.9 juta di laman YouTube dan ia turut terkenal dalam kalangan pengguna aplikasi Tiktok.