Jemaah haji lebih selesa lakukan ibadat kerana jumlah yang tidak ramai – Tengku Aziz

Dari Penulis

JEMAAH haji Malaysia dilihat lebih bersedia, berpeluang melakukan ibadah dengan selesa dan sentiasa mengikut nasihat petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Bimbingan TH, Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah berkata pandangan itu berlandaskan post mortem bersama petugas lain selepas beberapa kumpulan jemaah selesai melakukan umrah pertama apabila tiba di Makkah.

“Menerusi maklum balas jemaah didapati tiada masalah besar yang mereka hadapi kerana mereka dapat melakukan tawaf dengan selesa kerana tidak ramai yang berada di sekeliling Kaabah.

Keadaan tersebut adalah susulan peraturan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan mereka yang perlu melakukan umrah sahaja berada di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan ibu pejabat TH dan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriyah.

Kata Tengku Aziz, pemahaman tentang ibadah umrah dan haji juga semakin baik malah rata-rata jemaah hanya menyuarakan kebimbangan tentang masalah kecil sahaja, yang tidak akan membatalkan ibadah itu. 

BERITA BERKAITAN Haji: Jemaah Malaysia mula tiba di Makkah esok

Selain itu, beliau yakin bahawa kursus yang dianjurkan TH sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci menjadi salah satu faktor yang membantu mereka melakukan ibadah sebaiknya, selain peranan petugas TH di sini yang memberi penerangan dari semasa ke semasa.

Tengku Aziz berkata setiap rombongan akan dibahagi kepada beberapa kumpulan yang terdiri 100 jemaah di bawah bimbingan dua orang Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas) serta beberapa petugas Maktab (penginapan) masing-masing.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH menyediakan program latihan secara berterusan kepada bakal haji sebelum mereka ke Tanah Suci.

Katanya, pelbagai medium latihan termasuk kursus haji secara dalam talian juga telah disediakan bagi memastikan jemaah sentiasa mendapat panduan bukan sahaja berkaitan ibadah tetapi juga panduan kendiri, termasuk menjaga kesihatan serta kebersihan, lebih-lebih lagi semasa di Arafah dan Mina.

“Bertepatan dengan penjagaan kesihatan dan kebersihan, TH akan meneruskan kempen kebersihan di kalangan jemaah haji, sepertimana dengan tuntutan agama Islam.

Alhamdulillah, pada musim haji 2017 dengan sokongan dan kerjasama dari Muassasah Asia Tenggara, kita telah berganding bahu menyertai jemaah haji dalam kempen menjaga kebersihan di Arafah dan Mina.   Ini diperluaskan ke Makkah pada tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taaruf antara barisan kepimpinan Syarikat Tewafah Asia Tenggara ( dulu dikenali sebagai Muassasah Asia Tenggara) dan Rombongan Haji Malaysia, malam tadi.

Katanya pengendalian jemaah tahun ini diharap lebih baik dari sebelumnya dan ia akan dapat dicapai menerusi kerjasama erat bersama Syarikat Tewafah Asia Tenggara dan kerajaan Arab Saudi.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bot karam, lima nelayan berdepan detik cemas sebelum diselamatkan di Pulau Nunuyan

LIMA nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki karam dipukul ombak sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia...

More Articles Like This