ISU kutipan hutang disyaki menjadi punca beberapa lelaki bergaduh menggunakan kerusi plastik di hadapan sebuah restoran di sekitar Taman Manis, Kulai, awal pagi semalam.
Kejadian tersebut turut tular di Facebook dengan video berdurasi 58 saat memaparkan insiden tersebut.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, empat individu telah ditahan di beberapa lokasi berasingan.
Menurut beliau, empat individu berusia antara 20 hingga 46 tahun telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai antara pukul 6 petang hingga 9 malam, semalam.
Seng Lee berkata, pihaknya turut merampas dua helai baju-T; dua helai seluar yang dipercayai dipakai suspek semasa kejadian dan satu unit telefon bimbit.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan beberapa lelaki yang telah bergaduh dengan menggunakan kerusi plastik milik restoran.
“Pergaduhan tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu kutipan hutang. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Seng Lee berkata, semakan rekod jenayah mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif penyalahgunaan dadah.
Beliau memberitahu, kesemua suspek kini direman selama empat hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kejadian seumpama ini yang boleh mengancam ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

