Bot karam, lima nelayan berdepan detik cemas sebelum diselamatkan di Pulau Nunuyan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

LIMA nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki karam dipukul ombak sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan semalam.

Tindakan pantas Maritim Malaysia itu berjaya menyelamatkan warga tempatan berusia antara 38 hingga 59 tahun berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain memaklumkan, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan telah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 kira-kira pukul 5.15 petang.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan sebuah bot telah karam di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan.

Muhamad Suhairy berkata, kesemua mangsa telah keluar dari Jeti Nelayan Karamunting kira-kira pukul 6 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing di sekitar perairan Pulau Nunuyan.

“Namun begitu, bot yang dinaiki dipercayai telah karam setelah dipukul ombak besar semasa perjalanan pulang.

“Sejurus menerima maklumat, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengatur gerak aset iaitu Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 04 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.

“Hasil tindakan pantas anggota dan aset Maritim Malaysia, kesemua lima mangsa lelaki warga tempatan itu berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Suhairy berkata, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi hanya mengalami keletihan dan kesejukan.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan kepada komuniti maritim yang berdepan kecemasan di laut.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna bot dan komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan yang mencukupi serta memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut.

“Mereka juga sentiasa memantau keadaan cuaca dan memastikan bot tidak melebihi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim serta sentiasa bersedia memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan di laut,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Bekas tentera mula bertugas sebagai warden MRSM Rabu ini, MARA tekad banteras buli

SERAMAI 16 warden lelaki sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah...

More Articles Like This