PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh rakyat Timor-Leste atas pemergian bekas Presiden negara itu, Francisco Guterres.
Dalam hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, Guterres adalah antara generasi pejuang yang berjaya membawa Timor-Leste mencapai kemerdekaan.
“Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau serta seluruh rakyat Timor-Leste.
“Malaysia turut merasai kehilangan ini bersama rakyat Timor-Leste.
“Beliau akan sentiasa dikenang di Malaysia dengan penuh penghormatan dan penghargaan,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, Guterres merupakan antara tokoh penting dalam sejarah perjuangan negara tersebut.
Beliau berkata, Guterres telah menghabiskan bertahun-tahun dalam gerakan perjuangan.
“Beliau ketika itu lebih dikenali sebagai Lú-Olo, sebelum berkhidmat kepada negaranya sebagai Presiden Parlimen Nasional dan seterusnya sebagai Ketua Negara Timor-Leste.
“Sepanjang perjalanan tersebut, beliau kekal komited terhadap perjuangan kebebasan rakyatnya serta pembinaan sebuah negara yang demokratik,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

