PELAKON dan penyanyi Tya Arifin menepis dakwaan netizen meninggalkan dua orang anaknya menangis di lantai halaman rumah demi mengejar urusan dunia.
Kontroversi tersebut mula timbul selepas Tya membuat perkongsian di Tik Tok yang memaparkan anaknya sedang menangis.
Hantaran itu menuai reaksi negatif pelbagai pihak yang mempersoalkan perbuatannya itu kerana tergamak meninggalkan dua cahaya matanya demi mecari rezeki.
“Saya bukan sengaja meninggalkan dua orang anak di rumah, sebaliknya perlu keluar bagi melunaskan komitmen kerja. Hati mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka.
“Sukar untuk saya jelaskan situasi ini, namun apa yang pasti ibu bapa yang turut berdepan dengan perkara yang sama memahaminya. Mujur juga saya tidak perlu membiarkan mereka lama-lama di rumah,” katanya.
Tambah menantu kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu lagi, dek jadual yang terlalu padat demi misi membantu lebih ramai orang menjana pendapatan menerusi Mutyara, dia terpaksa menolak tepi tawaran karier seni.
“Sejak saya usahakan produk sendiri iaitu Mutyara, ramai yang berjaya saya bantu terutama golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan. Baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan.
“Disebabkan itu, saya memang kena ketepikan seketika kerjaya lakonan kerana mahu terus mengejar misi membantu lebih ramai orang. Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia pula,” ulasnya.
Tya dan Asyraf Khalid berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan dua orang anak, Arif Jiwa, 5, dan Azzahra Jiwa, 3.
Bagaimanapun kata Tya, dia bersyukur kerana suami sering memberikan semangat dan motivasi serta menyokong segala usaha dan impiannya.
“Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar.
“Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. Misi utamanya adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan di www.berniagabersamatya.com secara percuma.

